Pejalan kaki lintas jalan melulu, dua maut termasuk remaja

Iklan
Muhammad Darwisy Irsyad maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh pejalan kaki yang melintas melulu di KM146, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran persimpangan lampu isyarat Kawasan Perindustrian Teluk Kalong pada Khamis. Foto kecil: Muhammad Darwisy Irsyad

KEMAMAN - Seorang remaja dan lelaki warganegara China maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 146, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran persimpangan lampu isyarat Kawasan Perindustrian Teluk Kalong di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam itu, Muhammad Darwisy Irsyad Muhammad Fitri, 18, dan Zhang Jian Cheng, 41, yang merupakan juruteknik di sebuah kilang pembuatan besi dan keluli, maut di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di bahagian badan serta kepala.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati juruteknik kilang pembuatan besi dan keluli itu dipercayai melintas secara tiba-tiba dari bahu jalan ke tengah jalan, sebelum dirempuh motosikal Yamaha 125ZR ditunggang Muhammad Darwisy Irsyad.

"Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal berkenaan terbabas ke kiri jalan dan disahkan meninggal dunia.

Iklan

"Dua mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa iaitu rakan penunggang motosikal berusia 17 tahun, cedera di kaki dan tangan," katanya.

Mohd Razi berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.

Iklan

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.