SHAH ALAM - Ular sawa batik yang disimpan tanpa lesen sah dipercayai untuk peliharaan di sebuah premis di Kampung Bukit Cherakah di sini dirampas pada Khamis.
Tindakan itu diambil menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Selangor pada jam 11.30 pagi.
Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, pemeriksaan menemui seekor ular sawa batik yang merupakan hidupan liar dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Menurutnya, seorang wanita berusia 42 tahun telah diperiksa untuk membantu siasatan.
"Hidupan liar bernilai RM1,500 itu telah disita oleh pegawai Perhilitan untuk mengelakkan sebarang risiko salah guna serta memastikan pematuhan undang-undang.
"Ada individu yang menjadikan ular sawa sebagai hobi kerana rupa bentuknya yang unik, saiznya besar dan dianggap 'rare' selain sebagai simbol eksotik, koleksi peribadi atau daya tarikan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, operasi tersebut membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah berkaitan hidupan liar.
Katanya, kerjasama bersepadu bersama Perhilitan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada ruang untuk pihak tidak bertanggungjawab mengeksploitasi khazanah alam negara.
"Operasi OBK ini menzahirkan komitmen PDRM bersama agensi berkaitan dalam menjaga kelestarian khazanah biodiversiti negara selaras dengan undang-undang yang termaktub," ujarnya.