BUENOS AIRES - Hasil seni berharga yang dirampas tentera Nazi Jerman sejak 1945 akhirnya ditemui semula di laman web ejen hartanah di Argentina.
Lukisan abad ke-18 memaparkan potret Lady Contessa Colleoni dihasilkan pelukis Itali, Giuseppe Ghislandi itu dilihat tergantung di sebuah rumah berhampiran Buenos Aires yang pernah dimiliki pelarian Nazi, Friedrich Kadgien setelah dia berpindah ke negara Amerika Selatan itu selepas Perang Dunia Kedua berakhir.
Akhbar Algemeen Dagblad di Belanda melaporkan hasil seni yang berada dalam senarai lukisan perang yang hilang sejak lebih 80 tahun lalu dikesan apabila rumah itu dijual oleh anak perempuannya menerusi ruang iklan.
Difahamkan, lukisan itu antara ratusan yang dicuri daripada pedagang seni, Jacques Goudstikker yang maut dalam tragedi di laut ketika melarikan diri dari Belanda.
"Lebih 1,100 hasil seni daripada simpanan Goudstikker telah dibeli menerusi jualan paksa oleh pegawai Nazi selepas kematiannya termasuk Reichsmarschall Hermann Göring.
Sebahagian daripadanya dijumpai di Jerman dan dipamerkan di Rijkmuseum, Amsterdam sebagai sebahagian daripada koleksi negara.
Marei von Saher yang merupakan pewaris Goudstikker berjaya mendapatkan semula kira-kira 202 lukisan pada 2006.
Tetapi, lukisan Contessa Colleoni kekal hilang hingga ke hari ini.
Pada Rabu, rumah bernilai AS$265,000 (RM1.1 juta) tidak lagi berada dalam senarai jualan, sehari selepas serbuan dibuat yang turut gagal menemui hasil seni penting tersebut. - Agensi