BEIJING - Seorang pemuda yang digelar ‘budak lipat’ kerana tulang belakangnya membengkok sehingga 180 darjah akhirnya mampu berdiri tegak selepas menjalani empat pembedahan besar.
Jiang Yanchen, 21, dari wilayah Shandong, sebelum ini hidup dalam keadaan badan membentuk huruf 'Z' sehingga menyukarkannya belajar dan bergerak.
Selepas bertahun menanggung kesakitan, Jiang menjalani siri pembedahan berisiko tinggi pada tulang pinggul, dada, leher dan bahagian pinggang yang diketuai pakar ortopedik terkenal, Liang Yijian.
Doktor memecahkan dan menyusun semula tulangnya dalam prosedur yang disifatkan sebagai 'pembedahan ortopedik pertama dunia untuk kes 180 darjah'.
Sebelum ini, Jiang pernah mengambil peperiksaan masuk universiti sambil berbaring di atas tikar yoga pada 2022, namun tetap berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Tenaga dan Kuasa.
Ibunya, Yu Meiying, sanggup berhenti kerja untuk menjaga Jiang sepanjang rawatan tersebut.
Selepas dua tahun menjalani rawatan dan enam jam fisioterapi setiap hari, Jiang berdiri tegak buat pertama kali ketika sesi siaran langsung, Ogos lalu.
“Semua kesakitan berbaloi apabila saya dapat hidup seperti orang biasa. Saya rasa seperti dilahirkan semula,” katanya. - Agensi