RUU Perolehan Kerajaan bukan penamat perjuangan reformasi - Anwar

Iklan
Anwar. Foto Bernama

SHAH ALAM - Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 bukanlah penamat kepada perjuangan reformasi yang digerakkan kerajaan ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penggubalan RUU berkenaan hanyalah mukadimah kepada agenda perubahan lebih besar bagi memastikan pentadbiran negara kekal telus dan berintegriti.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah. Dengan sokongan 125 undian, RUU Perolehan Kerajaan 2025 telah diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

"Ini bukan penamat perjuangan reformasi kita. Penggubalan RUU ini hanyalah mukadimah kepada perubahan yang kita dambakan," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Iklan

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, RUU terbabit diluluskan setelah 125 undi bersetuju dan 63 undi menentang, seorang tidak mengundi manakala 32 ahli Parlimen tidak hadir.

Menurut Anwar, matlamat utama penggubalan RUU itu adalah memastikan setiap hasil negara dibelanjakan secara berhemah dan berintegriti demi mengangkat darjat Malaysia.

Iklan

RUU Perolehan Kerajaan mengandungi sebanyak 12 bahagian dan 93 fasal yang digubal dengan hasrat untuk mencapai beberapa matlamat jelas dan tegas iaitu meletakkan pertanggungjawaban sepenuhnya kepada mana-mana pihak yang melaksanakan perolehan menggunakan dana kerajaan.

RUU itu turut digubal selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang diterajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan setiap perbelanjaan awam diurus secara telus, berakauntabiliti dan bebas daripada ketirisan.

Selain itu, ia juga digubal untuk mengekang amalan perolehan yang tidak adil dan sering disalah guna, dengan mewajibkan penubuhan serta pentadbiran panel kajian semula ke atas keputusan di semua agensi pelaksana perolehan kerajaan, selain penubuhan Tribunal Rayuan Perolehan Kerajaan sebagai badan berkecuali di bawah Kementerian Kewangan.