PLUS jangka 2.2 juta kenderaan sehari sempena cuti Hari Kebangsaan

Iklan
PLUS memperkenalkan penambahbaikan terbaharu MyPLUS-TTA dalam aplikasi untuk memudahkan pengguna merancang perjalanan pada hari-hari puncak di luar musim perayaan.

SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari di rangkaian lebuh rayanya pada 29 Ogos dan 1 September ini sempena cuti hujung minggu serta sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Justeru, PLUS menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal untuk menikmati perjalanan lancar dan selesa sepanjang cuti berkenaan.

Iklan
Iklan

"Tidak seperti musim perayaan apabila tarikh perjalanan telah ditetapkan lebih awal, PLUS akan terus memantau aliran trafik harian.

"PLUS juga akan mengemas kini nasihat tempoh puncak secara berterusan bagi memastikan pengguna menerima panduan perjalanan paling relevan secara masa nyata," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, PLUS memperkenalkan penambahbaikan terbaharu MyPLUS-TTA dalam aplikasi untuk memudahkan pengguna merancang perjalanan pada hari-hari puncak di luar musim perayaan dengan lebih lancar di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

"MyPLUS-TTA kini bukan sahaja boleh diakses pada musim perayaan, tetapi turut tersedia pada hari-hari puncak terpilih sempena cuti sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Iklan

PLUS menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari di rangkaian lebuh rayanya pada 29 Ogos dan 1 September ini.

"Berbeza dengan versi perayaan, terdapat ciri-ciri terbaharu MyPLUS-TTA iaitu simpanan laluan kegemaran di bawah fungsi Laluan Kegemaran (Favourite Routes) untuk akses lebih pantas dan perancangan perjalanan lebih lancar," ujarnya.

Kenyataan tersebut memaklumkan, paparan amaran masa nyata ditampilkan terus pada halaman hasil carian, sekali gus memberikan maklumat segera mengenai keadaan trafik.

"Selain itu, fungsi carian turut dipertingkat dengan pilihan ‘menu ke bawah’ bagi memudahkan pemilihan laluan dengan lebih cepat dan mesra pengguna," menurut kenyataan itu.

Justeru, orang ramai digalakkan memuat turun atau mengemas kini aplikasi PLUS di https://bit.ly/3pO2PYs bagi merancang perjalanan dengan lebih mudah.

Dalam pada itu, PLUS turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuklah pemasangan bendera gergasi, paparan mesej digital LED, pertandingan serta hiasan kreatif di 21 Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah terpilih bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan orang ramai.