SEREMBAN - Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas bertindak melanggar kenderaan polis dan melarikan diri dalam kejadian mengejar suspek sejauh beberapa kilometer di sekitar Nilai hingga ke Kajang, Selangor pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.59 malam selepas kereta peronda polis mengesan sebuah Honda City dalam keadaan mencurigakan di Jalan Nilai Spring Villa.
“Ketika dihampiri, kenderaan tersebut bertindak agresif dengan melanggar bahagian hadapan kereta peronda polis sebelum melarikan diri.
“Suspek dikejar melalui beberapa laluan utama termasuk Mesamall, Desa Anggerik, Nilai Square, Pajam, Batang Benar hingga ke Rincing Hulu 2, Kajang sebelum terbabas di jalan mati,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, hasil tindakan pantas pasukan MPV dibantu beberapa unit rondaan lain, seorang lelaki tempatan berusia 20-an berjaya ditahan, namun seorang lagi suspek melarikan diri.
Ujarnya, semakan lanjut mendapati suspek yang ditahan mempunyai sembilan rekod jenayah dan dadah, manakala suspek kedua yang masih bebas pula mempunyai 15 rekod lampau termasuk satu rekod dikehendaki polis.
“Kenderaan peronda polis turut mengalami kerosakan akibat dirempuh suspek.
“Polis turut merampas beberapa barangan termasuk sebuah kotak cermin mata berisi dadah disyaki pil yaba, sekeping kertas timah dipercayai digunakan untuk menghisap dadah, kad pengenalan milik suspek yang melarikan diri dan sebuah Honda City,” katanya.
Katanya, suspek kini direman selama empat hari sehingga 31 Ogos 2025 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam menjalankan tugas) dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan (memandu secara gopoh di jalan awam).