KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia untuk melakukan penyesuaian dan meminda Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) termasuk dari segi nilai ambang peratus persetujuan pemilik hartanah yang menimbulkan pertikaian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia kerana kerajaan sedar bahawa setiap perundangan yang dicadang tidak semestinya sempurna.
“Saya tegaskan (di sini Yang Berhormat) Larut, saya terima baik (kerana) tak mungkin satu-satu perundangan itu paling sempurna, (jadi berilah) bagi cadangan dan kalau perlu kita pinda (RUU PSB di peringkat) berikutnya.
“(Namun) jangan kita buat andaian (kononnya cadangan RUU PSB) ini strategi Cina untuk merampas hak Melayu, saya tidak setuju. Saya bukan boneka, saya duduk di sini (Dewan Rakyat) dan saya terima mandat (rakyat), mesti pertahankan kepentingan Melayu Bumiputera yang majoriti,” katanya di sidang Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang bertanyakan sama ada bacaan kedua RUU PSB boleh ditangguhkan atau sebaliknya supaya perbincangan semula mengenainya boleh dilakukan sebelum pembangkang memberi sokongan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sebarang cadangan dan pandangan yang baik akan disesuaikan dalam RUU PSB berkenaan.
“Nak tukar nilai ambang seperti ke 30, 40, 50 peratus, itu perincian yang kena bincang bincang tapi tak boleh kita biarkan pembangunan bandar (terabai). (Di ibu negara misalnya), kita ada Menara Berkembar Petronas tapi (keadaan) rumah (rakyat seperti) merempat.
“Jadi kena tengok dari konteks itu, beri ruang kepada kerajaan untuk bangunkan rumah yang lebih selesa sesuai dengan masa sekarang kerana majoriti rakyat adalah Melayu,” tegasnya.