MERAK Jalanan perasan, sejak kebelakangan ini tular perbandingan antara lagu lama dan lagu zaman sekarang.
Ramai yang berkata, orang dulu beruntung kerana dapat menikmati karya penuh puitis, dengan lirik mendalam dan susunan muzik yang halus.
Sebut sahaja nama-nama besar penyanyi atau komposer era 1970-an hingga 1990-an, ramai yang masih mengalunkan bait lagunya hingga kini.
Sebaliknya, generasi hari ini dikatakan lebih cenderung kepada lagu yang ‘main tangkap muat’ lirik diulang-ulang, rentak mudah, bahkan ada yang sekadar dicipta untuk menjadi bahan tular di media sosial.
Tidak hairanlah banyak lagu popular hari ini cepat naik, tetapi juga cepat dilupakan.
Namun, Merak Jalanan melihat isu ini tidak boleh dihakimi secara hitam putih.
Hakikatnya, setiap zaman ada cita rasa dan cara menikmati muzik yang berbeza.
Kalau dulu orang duduk mendengar kaset atau radio dengan penuh penghayatan, kini anak muda mendengar lagu sambil memandu, bersenam, malah hanya beberapa saat di TikTok.
Industri muzik terpaksa mengikut rentak kepantasan zaman.
Soalnya, apakah kita terlalu mengejar hiburan segera hingga melupakan nilai seni dan mesej?
Lagu bukan sekadar irama, tetapi medium mendidik jiwa.
Lirik yang baik mampu membentuk emosi, memberi semangat dan menjadi kenangan berharga.
Merak Jalanan percaya, tidak salah mendengar lagu ringan untuk hiburan, tetapi janganlah sampai seni muzik kita hilang identiti.
Mungkin kita tidak mampu mengembalikan era emas muzik lama, namun kita masih boleh menuntut karya berkualiti.
Akhirnya, pilihan di tangan pendengar kerana lagu yang bertahan, biasanya lahir dari hati yang ikhlas.