AS-Venezuela di ambang perang?

Iklan
Konflik terus meningkat antara Washington dan Caracas sejak kebelakangan ini. - Foto Agensi

CARACAS - Venezuela pada Selasa mengerahkan kapal perang dan dron untuk mengawal perairan negara itu selepas 'musuh' mereka, Amerika Syarikat (AS) menghantar tiga kapal pemusnah bersama 4,000 anggota Marin ke Caribbean bagi memberi tekanan kepada Presiden Nicolas Maduro.

Menerusi video yang dikongsikan di media sosial, Menteri Pertahanan, Vladimir Padrino mengumumkan langkah seperti 'persediaan mahu berperang' setelah ketegangan kian memuncak antara kedua-dua negara sejak minggu lalu setelah Washington melancarkan tindakan melulu untuk membendung kartel dadah.

Iklan
Iklan

Sumber Washington turut mengesahkan pentadbiran Presiden Donald Trump mengerahkan dua lagi kapal perang ke perairan tersebut.

"USS Erie dan kapal selam berkuasa nuklear, USS Newport News akan menyertai armada sedia ada pada minggu depan," ujar sumber rapat tersebut.

Iklan

Meskipun peningkatan ketenteraan yang dramatik, penganalisis menolak kemungkinan pencerobohan AS atau ia melancarkan serangan ke atas Caracas.

"Situasi sekarang mungkin hanya cubaan menakut-nakutkan kerajaan Maduro dan memaksa beliau untuk berunding dengan AS untuk mengikut telunjuk mereka," kata penganalisis International Crisis Group, Phil Gunson.

Iklan

Washington berterusan menuduh pemimpin haluan kiri itu mengetuai kartel penyeludupan kokain, Cartel de los Soles yang disenaraikan pentadbiran Trump sebagai pertubuhan pengganas. - AFP