SHAH ALAM - Ibu kepada pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung tarikh dan masa penggalian semula kubur anaknya.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, setakat tengah hari ini, tiada perkembangan dimaklumkan kepada keluarga meskipun mahkamah sudah mengeluarkan arahan berhubung perkara tersebut.
“Setakat ini saya belum terima tarikh daripada pihak berkuasa bila penggalian itu akan dilaksanakan.
“Semalam peguam Datuk Naran ada maklum ia sepatutnya dijalankan dalam tempoh 48 jam selepas arahan mahkamah dikeluarkan. Tapi sekarang sudah lebih 24 jam, masih tiada maklumat lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, pihak keluarga hanya mampu menunggu perkembangan selanjutnya daripada pihak berkuasa memandangkan proses tersebut agak rumit dan memerlukan masa untuk diuruskan.
Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa memerintahkan penggalian semula kubur pelatih Palapes UTM Skudai itu bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan dalam tempoh 14 hari bermula tarikh penggalian.
Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ummu Haiman.
Semasa membacakan keputusan, beliau berkata, Ketua Polis Negara (KPN) selaku responden pertama akan menyelia proses penggalian semula jasad anak sulung seorang guru itu yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, di sini.
Mahkamah turut mengarahkan seorang pakar patologi forensik Hospital Kuala Lumpur menjalankan bedah siasat kedua terhadap jasad Allahyarham dengan kehadiran Pakar Forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh.
Proses itu turut disertai peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili pemohon melalui firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.