PUTRAJAYA - Malaysia dan Brunei mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel melakukan keganasan serta menyekat sepenuhnya akses bantuan kemanusiaan ke Gaza sehingga menyebabkan krisis kemanusiaan yang berterusan.
Perkara itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menerusi Perundingan Tahunan Pemimpin ke-26 (ALC) di sini, pada Rabu.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua negara mengutuk sekatan sepenuhnya terhadap akses kemanusiaan dan penghantaran bantuan yang telah mengakibatkan jumlah korban besar, perpindahan paksa, kebuluran sistematik serta kekurangan kritikal bekalan menyelamatkan nyawa.
Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah turut menolak keputusan tidak sah Israel untuk menduduki sepenuhnya Gaza serta rancangan peluasan haram “Israel Raya” yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta resolusi PBB berkaitan.
“Malaysia dan Brunei menyeru masyarakat antarabangsa bertindak tegas menghentikan kitaran impunitas, menjamin akses kemanusiaan segera tanpa halangan serta memastikan hak rakyat Palestin dilindungi,” kata kenyataan itu.
Mereka turut menegaskan semula sokongan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan rakyat Palestin untuk menubuhkan sebuah negara berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, selain mengalu-alukan sokongan global yang semakin meningkat bagi mengiktiraf Palestin tanpa prasyarat.
Kesepakatan itu turut dizahirkan dalam isu Myanmar apabila kedua-dua pemimpin menyatakan kebimbangan mendalam terhadap keganasan serta krisis kemanusiaan yang berterusan di negara tersebut.
Malaysia dan Brunei menegaskan Konsensus Lima Perkara (5PC) kekal sebagai rujukan utama ASEAN dalam mencari penyelesaian politik, termasuk gencatan senjata menyeluruh, penghantaran bantuan kemanusiaan dan dialog inklusif.
Brunei dalam masa sama menyokong usaha berterusan Pengerusi ASEAN, termasuk cadangan lawatan Menteri Luar Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand ke Myanmar pada 19 September 2025.
Kedua-dua pemimpin turut menghargai langkah positif Kemboja dan Thailand mencapai persetujuan gencatan senjata susulan ketegangan di sempadan, sambil menegaskan bahawa keputusan itu mencerminkan semangat hormat-menghormati, penyelesaian damai serta perpaduan ASEAN yang menjadi asas kepada keamanan dan kestabilan rantau.