GEORGE TOWN – Sebarang tindakan penguatkuasaan terhadap struktur binaan tidak sah yang melibatkan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di Pulau Pinang perlu mendapatkan ulasan daripada Jawatankuasa RIBI negeri terlebih dahulu sebelum tindakan diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H'ng Mooi Lye berkata, jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara berhati-hati dan berlandaskan prinsip keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Iklan
Iklan
Menurut beliau, walaupun kelulusan jawatankuasa diperlukan, PBT masih dibenarkan mengeluarkan notis pencerobohan awal dengan tempoh pengosongan struktur serta tindakan remedi tanah yang munasabah sebelum ulasan rasmi Jawatankuasa RIBI diperoleh.
"Setiap kes akan dirujuk kepada Jawatankuasa RIBI sebelum sebarang penguatkuasaan dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Bagaimanapun, Mooi Lye menjelaskan, terdapat situasi tertentu yang memerlukan tindakan segera oleh PBT tanpa menunggu proses penuh jawatankuasa khususnya jika melibatkan isu keselamatan awam.
“Sebagai contoh, sekiranya RIBI dibina di atas tanah yang mempunyai saluran paip gas, PBT akan mengambil tindakan serta-merta demi keselamatan orang awam,” ujarnya.
Beliau menegaskan pendekatan tersebut mencerminkan keseimbangan antara pematuhan undang-undang, sensitiviti agama dan keselamatan selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk mengekalkan keharmonian di Pulau Pinang.