Star Village bakal ganti AEON BiG di Jalan Gangsa, Alor Setar

Iklan
Kompleks beli-belah Aeon BiG yang terbiar selama lima tahun akan dijenamakan semula kepada Star Village. (Gambar kecil: Abdul Gafar)

ALOR SETAR - Kompleks beli-belah AEON BiG di Jalan Gangsa pernah menjadi mercu tanda baharu peruncitan di ibu negeri ini namun terbiar sejak lima tahun lalu selepas lebih 10 tahun beroperasi.

Tinjauan Sinar Harian di premis dua tingkat yang ditutup sejak 10 Jun 2020 itu mendapati kawasan persekitaran masih dipelihara meskipun kelihatan semakin usang dengan dinding cat pudar.

Iklan
Iklan

Malah beberapa bahagian ditumbuhi semak samun dengan beberapa ekor anjing liar kelihatan berkeliaran.

Namun, kawasan tersebut dijaga rapi dengan kawalan keselamatan 24 jam.

Iklan

Kompleks ini dahulu menjadi lokasi tumpuan ramai dan digambarkan sebagai ‘luas dan bersih’ dengan suasana selesa untuk membeli-belah.

Kawasan parkir yang luas secara percuma antara kelebihan ditekankan pengunjung selain variasi kedai sesuai untuk semua peringkat umur, menjadikan ia tempat pilihan seisi keluarga.

Iklan

Menurut Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya, kompleks berkenaan bakal beroperasi semula dalam tempoh terdekat selepas ditutup selama hampir lima tahun.

“Pengubahsuaian kompleks seluas 9,144 meter persegi itu telah siap sepenuhnya dan hanya menunggu masa untuk memulakan operasi, dengan dijenamakan semula kepada Star Village,” katanya.

Abdul Gafar memaklumkan, AEON BiG Alor Setar dirasmikan pada 12 Disember 2014 oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, menempatkan pasar raya hiper serta lebih 55 lot kedai pelbagai jenis.

“AEON BiG telah menghentikan operasi di Alor Setar pada 2020 berkaitan isu-isu dalaman dunia perniagaan yang melibatkan undang-undang,” katanya.