Kastam perlu tumpu banteras penyeludupan arak, bukannya geledah premis rakyat - King Sing

Iklan
Hantaran dimuat naik King Sing di Facebook pada Rabu.

SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dinasihatkan supaya menumpukan penguatkuasaan membanteras penyeludupan arak, bukannya menggeledah premis dan memburu koleksi peribadi rakyat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sekiranya JKDM terus-menerus membazir tenaga untuk perkara salah, ia hanya menimbulkan lebih banyak kekecewaan dan kebencian dalam kalangan rakyat, khususnya golongan bukan Islam terhadap kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, di bawah Akta Eksais 1976, menyimpan minuman keras untuk kegunaan sendiri tidak salah di sisi perundangan, namun JKDM memilih menggunakan frasa ‘mungkin menyalahi undang-undang’ yang mengelirukan orang ramai.

Justeru, tegas King Sing, JKDM perlu menguatkuasakan undang-undang dengan betul, bukannya menimbulkan ketakutan yang tidak perlu.

Iklan

“Persoalannya, adakah pegawai jabatan ini menganggap jika seseorang mempunyai simpanan arak yang banyak, secara automatik berhasrat menjualnya? Mudahnya jika itu logik mereka.

“Tetapi, undang-undang tidak menetapkan bahawa jumlah maksimum dan kuantiti sahaja tidak sepatutnya menjadi faktor penentu.

Iklan

“Untuk membezakan pengumpul persendirian dengan peniaga, anda mesti melihat sama ada mereka membeli minuman keras sama secara pukal dengan kerap, bukan hanya berapa banyak koleksi pelbagai jenis atau jenama.

“Jika tidak, orang yang mengumpul kasut atau mainan berjenama, semuanya perlu memerlukan lesen juga? Itu tidak masuk akal!” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, JKDM dilapor memberi peringatan kepada orang awam bahawa memiliki terlalu banyak minuman keras di rumah mungkin menyalahi undang-undang.

Kenyataan terbabit membawa kepada respons King Sing yang menyelar tindakan sedemikian.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bintulu tersebut menyifatkan tindakan JKDM meminta orang ramai menyimpan resit pembelian minuman keras selama tujuh tahun sebagai tidak realistik sama sekali.

King Sing berpendapat, kebanyakan isi rumah tidak boleh menyimpan resit sepanjang tempoh berkenaan, ditambah pula botol yang mempunyai label menunjukkan sama ada duti sudah dibayar atau sebaliknya.

“Jika minuman keras ini dikenakan cukai, mengapa menganggap pengumpul koleksi itu sebagai penjenayah? Bukankah undang-undang mesti dikemas kini mengikut peredaran zaman?

“Jangan lupa, banyak yang dipanggil ‘koleksi berlebihan’ itu sebenarnya simpanan keluarga turun temurun atau pembelian pukal dibuat untuk mendapatkan harga lebih baik tanpa niat dijual semula.

“Namun, JKDM nampaknya lebih berminat untuk menyerbu rumah orang daripada menangani penyeludupan sebenar di lapangan. Pendekatan ini bukan sahaja membazir sumber awam, malah membuatkan orang ramai persoal jika terdapat motif lain,” ujar beliau.

King Sing memaklumkan, berkongsi dan bertukar minuman dengan tetamu sebahagian daripada budaya masyarakat bukan Islam.

Tambahnya, sesetengah daripada mereka gemar mengumpul minuman keras yang jarang ditemui untuk dirasai dan dinikmati bersama rakan-rakan.

“Inilah hobi peribadi dan sebahagian daripada kehidupan peribadi mereka. Tetapi, JKDM kini berkelakuan seperti ‘Little Napoleon’.

“Kita tidak menafikan ada yang mengumpul arak dengan tujuan untuk menjual secara haram. JKDM kena siasat dan ambil tindakan berdasarkan bukti kukuh.

“Semua sedia maklum semakin lama minuman keras itu disimpan semakin baik kualitinya, jadi JKDM usahlah berpura-pura. Mengapa penyeludup begitu sukar ditangkap, pengumpul pula mudah disasarkan?” soalnya lagi.