Selangor pantau isu taska enggan terima bayi bawah setahun - Exco

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Ahad. Foto kecil: Anfaal

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memandang serius isu taman asuhan kanak-kanak (taska) yang enggan menerima bayi bawah setahun sehingga menimbulkan kebimbangan ibu bapa.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari berkata, situasi itu dianggap aduan serius kerana mendorong sebahagian ibu bapa menghantar anak kepada pengasuh tidak berdaftar di rumah.

Iklan
Iklan

"Kita bimbang akhirnya ibu bapa terpaksa berpindah kepada pengasuh di rumah yang tidak berdaftar, sekali gus menyebabkan isu keselamatan dan pemantauan timbul,” katanya kepada Sinar Harian. 

Beliau menjelaskan, pihaknya juga sebelum ini mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha taska dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor.

Iklan

Menurut Anfaal, sebanyak 1,300 taska beroperasi secara berdaftar di negeri ini manakala sebahagian lagi masih belum mendaftar.

Katanya, kerajaan negeri juga menyediakan memperuntukkan geran pusat penjagaan sebanyak RM400,000 bagi membantu operator taska mendaftar dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Iklan

"Usaha ini lebih kepada outreach, bukan menghukum. Kita juga ambil kira faktor kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 bermula 1 Ogos selain aspek keselamatan," ujar beliau.

Beliau turut mengakui caj bulanan antara RM500 hingga RM700 yang dikenakan pengusaha taska ketika ini tidak mencukupi untuk menampung kos operasi menyebabkan ramai pengusaha tertekan.

Menurutnya, kerajaan negeri turut mencadangkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) supaya mempertimbangkan pemberian subsidi kepada operator berdasarkan bilangan anak dihantar bergantung kepada pendapatan ibu bapa.

"Setakat ini belum ada subsidi, namun kita boleh usulkan kerana melihat pengusahaan taska ini penting untuk menyokong ekonomi dan memberi ketenangan kepada ibu bapa bekerja," katanya.

Sinar Harian pada Ahad lalu melaporkan, sektor asuhan awal kanak-kanak berdepan cabaran apabila 35 hingga 40 peratus pengusaha taska berdaftar di seluruh negara menghentikan perkhidmatan penjagaan bayi bawah usia setahun.

Senario itu semakin memburuk berikutan terdapat sebilangan pengusaha taska di negeri-negeri tertentu tidak menyediakan perkhidmatan mengasuh bayi bawah setahun.