Bulan Kebangsaan, pemangkin kebanggaan Barangan Malaysia

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kiri) melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) disaksikan oleh Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali (kiri), Timbalan Menteri KPDN, Senator Datuk Dr Fuziah Salleh serta Ketua Setiausaha KPDN, Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bakar.

PUTRAJAYA- Bulan Ogos setiap tahun menjadi detik istimewa buat seluruh rakyat Malaysia kerana ia bukan sekadar bulan sambutan kemerdekaan negara tetapi juga tanda kebersamaan dan perpaduan yang menyatukan kita semua.

Inilah waktunya kita menghargai nikmat kemerdekaan serta menzahirkan rasa cinta kepada negara melalui semangat patriotisme yang dapat memberi manfaat bersama untuk tanah air tercinta.

Iklan
Iklan

Namun, patriotisme bukan hanya dizahirkan melalui sambutan perarakan, kibaran bendera atau laungan merdeka semata-mata, ia juga boleh diterjemahkan melalui tindakan kita seharian secara istiqamah dengan penuh nilai dan makna kenegaraan yang sejati.

Salah satu bentuk patriotisme yang praktikal dan relevan dengan cabaran semasa ialah dengan menyokong produk barangan Malaysia.

Iklan

Setiap kali kita memilih barangan tempatan sebenarnya kita sedang menzahirkan rasa cinta kepada tanah air, mengangkat martabat usahawan tempatan dan secara tidak langsung memperkukuh ekonomi domestik negara.

Memperkasa Kempen Beli Barangan Malaysia

Iklan

Bagi merealisasikan semangat ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuh Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) melalui slogan Jom Beli Lokal.

Inisiatif itu bertujuan menyemarakkan kesedaran dan sokongan rakyat terhadap produk keluaran Malaysia seterusnya memastikan ia kekal relevan dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar.

Kempen itu bukan sekadar slogan, tetapi sebuah gerakan nasional yang menekankan kepentingan memilih barangan buatan Malaysia sebagai langkah strategik untuk memacu ekonomi negara, menjana peluang pekerjaan, memperkukuh daya saing serta menanam rasa bangga terhadap identiti nasional.

Sejak dijenamakan semula pada tahun 2019, KBBM telah mencatatkan pencapaian membanggakan. Nilai jualan di bawah inisiatif ini mencecah RM19.7 bilion yang melibatkan lebih 38,605 stock keeping unit (SKU).

Logo Barangan Malaysia: Simbol keyakinan dan pengiktirafan

Dalam dunia pemasaran, penjenamaan memainkan peranan yang amat penting.

Bagi barangan tempatan, Logo Barangan Malaysia berfungsi sebagai tanda pengiktirafan yang bukan sahaja memberi keyakinan kepada pengguna, malah menjadikan jenama tempatan sebagai pilihan utama rakyat Malaysia.

Sehingga kini, sebanyak 3,114 syarikat meliputi 33,090 SKU telah mendapat kebenaran menggunakan Logo Barangan Malaysia.

Justeru, KPDN menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan atau pengeluar untuk memohon penandaan logo ini kerana ia bukan sahaja membantu meningkatkan keyakinan pengguna tempatan, tetapi juga berpotensi membuka laluan ke pasaran antarabangsa.

Permohonan penandaan logo ini boleh dibuat secara mudah melalui pautan rasmi https://buymalaysian.kpdn.gov.my.

Usaha ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh penjenamaan barangan tempatan sekali gus meningkatkan daya saing industri Malaysia di pentas global.

Barangan Malaysia di mata dunia

Kesungguhan KPDN untuk mengangkat produk tempatan bukan sahaja di dalam negara, malah ia kini diperluas ke pasaran antarabangsa melalui Program Local to Global Retail atau Program Pengantarabangsaan Produk Usahawan Tempatan ke Pasaran Luar Negara yang telah mula dilaksanakan pada suku ketiga tahun 2024.

Pada tahun 2024, sebanyak 65 syarikat usahawan tempatan Malaysia melibatkan 275 SKU telah berpeluang menyertai empat siri program promosi luar negara yang membuka ruang pasaran antarabangsa di tiga negara iaitu Thailand, Emiriah Arab Bersatu (Dubai) dan Jepun.

Kejayaan ini membuktikan bahawa mutu barangan Malaysia bukan sahaja mampu memenuhi citarasa rakyat tempatan, malah diiktiraf setanding dengan produk antarabangsa.

Inilah kekuatan sebenar KBBM, mengangkat produk tempatan ke pentas global.

Dari segi kualiti, harga yang kompetitif dan kepelbagaian produk, keluaran barangan Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus berkembang di peringkat antarabangsa.

Program Jelajah Karnival KPDN dan KBBM 2025

Sebagai kesinambungan usaha tersebut, Program Jelajah Karnival KPDN dan KBBM 2025 dianjurkan bermula Jun hingga November bagi membawa mesej strategik ini ke seluruh pelosok tanah air.

Karnival yang berlangsung di enam zon seluruh negara, menjadi platform berkesan untuk mempromosi barangan tempatan secara terus kepada pengguna selain merakyatkan perkhidmatan di bawah tanggungjawab dan fungsi KPDN.

Lebih menarik lagi, program itu turut mendapat sokongan besar daripada rangkaian peruncitan utama negara seperti pasar raya Mydin, Lulu Hypermarket, Lotus’s, Aeon Mall, KK Mart, 99 Speedmart dan banyak lagi.

Kerjasama erat turut dijalinkan dengan platform e-dagang seperti TikTok Shop, Shopee, dan Lazada yang menjadikan KBBM sebagai inisiatif inklusif yang menghubungkan pengeluar, pengedar, peruncit dan pengguna dalam satu ekosistem dalam talian secara menyeluruh.

Dalam memastikan sokongan rakyat terhadap produk tempatan lebih kukuh, aspek harga turut diberi perhatian serius.

Sehubungan itu, KPDN menerusi Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) yang menawarkan barangan terpilih pada harga subsidi.

Program itu bukan sahaja membantu mengimbangi kos sara hidup rakyat tetapi juga menggalakkan pengguna terus berbelanja atas jenama barangan Malaysia.

Dengan adanya intervensi sebegini, rakyat dapat menikmati barangan berkualiti pada harga yang berpatutan sementara pengeluar tempatan terus mendapat sokongan berterusan.

Ini membuktikan bahawa menyokong barangan Malaysia bukan sekadar slogan tetapi satu bentuk kerjasama dua hala antara rakyat dan pengeluar demi kesejahteraan bersama.

Patriotisme melalui kuasa membeli

Kesemua usaha ini akhirnya membawa kepada satu hakikat bahawa patriotisme bukan sekadar semangat yang dilaungkan pada Bulan Kebangsaan tetapi juga pilihan pembelian harian yang dibuat oleh setiap rakyat.

Sokongan terhadap barangan Malaysia memastikan industri negara terus berkembang, peluang pekerjaan diwujudkan dan ekonomi menjadi lebih berdaya tahan.

Dalam jangka masa panjang, langkah ini turut mengurangkan kebergantungan kepada barangan import sekali gus memperkukuh kedaulatan ekonomi negara.

Sempena Bulan Kebangsaan ini, marilah kita sama-sama memaknai semangat patriotisme dengan tindakan nyata melalui pemilihan barangan Malaysia yang bukan sahaja menyokong usahawan tempatan tetapi turut memperkukuh aspirasi Malaysia MADANI berteraskan nilai kebersamaan dan kesejahteraan.

Setiap pembelian adalah satu sokongan untuk Malaysia.

Setiap ringgit yang dibelanjakan untuk produk tempatan adalah pelaburan kepada generasi akan datang.

Inilah masanya untuk membuktikan bahawa cinta kepada tanah air bukan sekadar kata-kata tetapi melalui tindakan yang memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Jom Beli Lokal: Barangan Kita, Kebanggaan Kita!

Selamat Hari Kebangsaan & Hari Malaysia 2025 : Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni

Ketua Setiausaha KPDN, Dato' Seri Mohd Sayuthi Bakar