Penduduk Felda Hutan Percha berkorban demi semarakkan kemerdekaan

Iklan
Penduduk Felda Hutan Percha, Machap, Alor Gajah mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Melaka.

ALOR GAJAH – Penduduk Felda Hutan Percha, Machap di sini tidak ketinggalan menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan sanggup mengumpul dan membelanjakan lebih RM10,000 bagi menghiasi kampung itu dengan Jalur Gemilang.

Bermula sejak awal Ogos, lebih 300 orang penduduk bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bergotong-royong memasang bendera, kain rentang serta pelbagai dekorasi landskap yang ditempatkan di lima lokasi utama iaitu Taman Puncak Damai, Laman Kasih Sayang, Laman Nostalgia, Laman Muafakat dan Anjung Istana.

Iklan
Iklan

Pengerusi JPKK Felda Hutan Percha, Nizam Baharom berkata, perbelanjaan tersebut adalah hasil titik peluh dan sumbangan ikhlas penduduk sendiri yang mahu menzahirkan kecintaan terhadap tanah air, selain menjadi simbol perpaduan warga kampung.

Hiasan Jalur Gemilang yang dihasilkan penduduk dengan semangat bergotong-royong.

Iklan

Menurutnya, lebih menarik, usaha itu turut menggabungkan masyarakat pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli yang bersama-sama menyumbang tenaga serta idea bagi memastikan sambutan kemerdekaan kali ini lebih meriah.

"Pada tahun ini, setiap kawasan disertai sekurang-kurangnya 20 hingga 30 orang penduduk yang bukan sahaja menyumbang tenaga, malah turut menghulurkan wang saku.

Iklan

"Segala kos perbelanjaan termasuk Jalur Gemilang datang daripada penduduk sendiri yang berganding bahu tanpa mengira penat lelah,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

Replika Mendam Berahi salah satu tarikan yang dihasilkan dengan kreativiti penduduk Felda Hutan Percha.

Tambah Nizam, semangat kerjasama tersebut juga menjadi kunci kejayaan kampung berkenaan sehingga berjaya meraih pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Landskap Negara 2025 serta finalis Anugerah Aspirasi Desa Madani peringkat kebangsaan pada 2023 dan 2024.

Sementara itu, seorang penduduk, Abdullah Mad Shah, 65, yang juga pesara tentera berkata, beliau berbangga dapat menyumbang idea termasuk menghasilkan replika kapal dan keris bagi menghiasi kawasan hiasan.

Ujarnya, menerusi aktiviti ini, generasi lama menyumbang pengalaman manakala generasi muda pula melaksanakan.

"Inilah keistimewaan serta keunikan kampung ini hingga mampu meraih pelbagai anugerah.

"Secara tidak langsung, ia menjadi medium untuk anak muda menyertainya dan menjadi teladan buat generasi akan datang," katanya lagi.