KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya Kuala Lumpur melaksanakan reformasi tadbir urus bandar raya dengan memberi ruang semak dan imbang melalui pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan, selaras dengan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Gesaan tersebut disuarakan oleh Ahli-Ahli Parlimen Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kuala Lumpur susulan laporan PAC berhubung isu tanah di ibu negara.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, BBC Kuala Lumpur menyokong laporan PAC, termasuk cadangan mengembalikan jawatan Pengerusi Wilayah Persekutuan kepada menteri yang bertanggungjawab.
Menurut beliau, cadangan PAC merupakan satu titik permulaan ke arah pelaksanaan reformasi lebih menyeluruh terhadap pentadbiran Kuala Lumpur.
“Berbeza dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain, Datuk Bandar Kuala Lumpur memegang kuasa yang jauh lebih besar. Kini hanya ada Lembaga Penasihat tanpa sistem semak dan imbang.
“PAC mencadangkan sistem Ahli Majlis dilantik seperti yang diamalkan di negeri-negeri lain. Kami di peringkat Ahli Parlimen penyokong kerajaan juga berpandangan bahawa perbincangan awal boleh dimulakan ke arah pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.
Sidang media tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun; dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Nik Nazmi yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, hasrat tersebut juga sejajar dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum yang lalu yang berikrar untuk memperkukuh demokrasi dalam tadbir urus Kuala Lumpur.
Menurut beliau, selaku ibu negara dengan peruntukan belanjawan melebihi RM3 bilion, warga kota wajar terlibat dan mempunyai suara dalam pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kedudukan ekonomi Kuala Lumpur yang pesat dan hampir setara dengan bandar raya negara maju menuntut agar warganya diberi ruang untuk menentukan hal ehwal pentadbiran bandar raya.
“Jika ada penglibatan warga kota, isu seperti penjualan kolam takungan dan pelepasan kawasan hijau secara tidak terkawal tidak akan berlaku. Kuala Lumpur perlu ditadbir dengan lebih telus, inklusif dan mendengar suara rakyat,” tegas beliau.
Pada Isnin, PAC mendedahkan laporan yang mengesan beberapa percanggahan daripada sembilan prosiding berkaitan penjualan dan pembangunan tanah oleh DBKL, termasuk pelanggaran yang mengakibatkan pembangunan tidak terkawal.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, dalam rumusannya kepada 12 perkara utama berkata, peranan Lembaga Penasihat Bandar Raya adalah terhad sebagai penasihat di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) dan tidak mempunyai kuasa membuat keputusan secara bersama, berbeza dengan sistem Ahli Majlis di PBT negeri-negeri lain.
Sehubungan itu, PAC mencadangkan agar kerajaan menyemak semula dan meminda undang-undang berkaitan pembangunan tanah Kuala Lumpur seperti Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1982 (Akta 267), bagi memperkenalkan sistem Ahli Majlis lantikan DBKL seperti yang dilaksanakan di negeri lain, demi memastikan sistem semak dan imbang dapat diwujudkan.