JOHOR BAHRU – Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam) tidak menolak kemungkinan membawa isu tuntutan hak milik kekal Tanah Rizab Melayu (TRM) ke mahkamah sekiranya semua saluran penyelesaian lain menemui jalan buntu.
Pengerusinya, Abdul Rahim Md Shariff berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kedua persatuan yang berlangsung pada Ahad lalu dan dihadiri lebih 150 ahli.
"Semua ahli Perkam tetap dengan pendirian konsisten memohon Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Kerajaan Johor supaya meluluskan permohonan penukaran status tanah di Kampung Melayu Majidee daripada TRM Pajakan Negeri 99 tahun kepada TRM hak milik kekal selama-lamanya.
"Mesyuarat Agung Perkam juga bersetuju sebulat suara untuk mendapatkan kerjasama daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor untuk membawa isu TRM ini ke dalam perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri akan datang.
"Selain itu, turut dipersetujui pemberian kuasa kepada Jawatankuasa Perkam untuk mengambil sebarang tindakan dalam ruang lingkup undang-undang, termasuk membuat tuntutan di mahkamah sekiranya semua saluran penyelesaian lain tertutup," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Abdul Rahim, ahli-ahli Perkam kekal konsisten menuntut agar status TRM di Kampung Melayu Majidee ditukar daripada pajakan negeri 99 tahun kepada hak milik kekal selama-lamanya, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Perkam tidak menolak usaha Pejabat Tanah dan pihak kerajaan dalam membuat kempen agar pemilik tanah di Kampung Melayu Majidee memohon pemanjangan tempoh pajakan.
"Namun begitu, Perkam tetap berpendapat bahawa TRM Kampung Melayu Majidee dan tanah-tanah rizab Melayu lain perlu diberi status hak milik kekal selama-lamanya, sebagaimana kehendak Perlembagaan Persekutuan.
"Kami percaya bahawa setiap TRM seharusnya diberi status hak milik kekal berdasarkan prinsip bahawa tanah tersebut tidak boleh ditukarmilik, disewa atau diuruskan oleh orang bukan Melayu untuk selama-lamanya," jelasnya.
Dalam pada itu, Perkam menafikan dakwaan kononnya mereka mengenakan bayaran sehingga RM20,000 bagi menguruskan permohonan pemanjangan tempoh pajakan.
“Kami tidak pernah menawarkan sebarang perkhidmatan berbayar. Perkam hanya memperjuangkan hak tanah TRM Kampung Melayu Majidee semata-mata,” tegasnya.
Pada 20 April lalu, media melaporkan bahawa lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee terus hidup dalam dilema apabila permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman daripada TRM berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.
Tempoh pajakan TRM Kampung Melayu Majidee dijadual berakhir pada tahun 2053, iaitu 28 tahun lagi, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terhadap masa depan mereka, termasuk kemungkinan kampung tersebut dibangunkan secara komersial.
Perkam sebelum ini telah menghantar petisyen serta permohonan rasmi kepada Menteri Besar Johor pada 8 September tahun lalu bagi menukar status tanah kampung itu kepada TRM hak milik kekal.