KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan permohonan kenaikan yuran oleh pengusaha tadika swasta hanya boleh dikemukakan selepas tempoh tiga tahun kadar terakhir yang diluluskan dan peningkatan itu tidak melebihi 30 peratus.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, permohonan yang diterima akan disemak dan dipertimbangkan secara wajar, dengan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pengusaha dan ibu bapa.
"Pertimbangan turut merangkumi aspek lokasi, kemudahan yang disediakan serta kelayakan guru. Ini bertujuan memastikan tadika swasta kekal menyediakan perkhidmatan prasekolah yang berkualiti dan berpatutan,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Negara pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Nelson W Angang yang ingin tahu bagaimana kerajaan mengawal kos kenaikan yuran prasekolah terutamanya di sektor swasta dan kawasan bandar serta langkah diambil bagi menyelesaikan isu guru prasekolah yang masih terbeban dengan gaji yang tidak mengikut kadar gaji minimum.
Fadhlina berkata, semua tadika swasta yang menyediakan pendidikan prasekolah kepada kanak-kanak berumur 4 hingga 6 tahun diwajibkan berdaftar di bawah Seksyen 20 Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] dan tertakluk kepada kelulusan yuran serta bayaran lain oleh KPM.
Beliau berkata, kadar yuran yang diluluskan adalah penting bagi kelangsungan pengoperasian institusi itu, selaras dengan Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan.
Dalam usaha menyokong keluarga berpendapatan rendah, Fadhlina berkata, KPM turut menyediakan bantuan yuran secara sekali beri kepada murid B40 yang belajar di tadika swasta.
"Untuk tahun 2025, sebanyak 1,106 murid B40 menerima manfaat bantuan ini, dengan jumlah RM1,175.40 setiap seorang bagi tempoh pembelajaran setahun, khususnya di Sabah, Sarawak dan Kelantan,” katanya.
Mengulas kebajikan guru tadika swasta, beliau berkata, dasar gaji minimum RM1,700 yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Manusia turut terpakai kepada sektor tadika swasta.
"KPM menyambut baik dasar yang selaras dengan syarat kelayakan minimum guru tadika iaitu diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak. Kita juga yakin tindakan penguatkuasaan akan meningkatkan kesedaran dan pematuhan dalam kalangan pengusaha tadika,” katanya. - Bernama