KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadang menubuhkan kementerian khusus untuk hal ehwal warga emas dalam menangani fenomena penuaan populasi negara.
Sim Tze Tzin (PH-Bayan Lepas) berkata, pelbagai faktor mendorong Malaysia mencapai negara menua termasuk disebabkan aspek perkahwinan dan kelahiran.
"Nampaknya kita belum siap siaga untuk menangani masalah populasi penuaan. Malaysia mempunyai Kementerian Belia (dan Sukan), tapi kita belum ada kementerian warga emas yang khusus menangani masalah penuaan.
"Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan kementerian warga emas untuk menangani masalah ini," ketika bertanyakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menjawab cadangan tersebut, Menteri Kewangan II yang menjalankan tugas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan sentiasa menjaga kebajikan warga emas menerusi agensi sedia ada meskipun tiada kementerian khas bagi menguruskan golongan tersebut.
"Memang benar dalam kerajaan kita tidak ada kementerian warga emas, tapi dalam kerajaan kita ada banyak kementerian seperti Kementerian Kewangan (MOF) yang mengawal selia aspek ekonomi dan fiskal, Unit Pelarasan dan Pelaksanaan (ICU), bagi perlindungan sosial.
"Kementerian Sumber Manusia, aspek pekerjaan, kemahiran dan pendidikan, Kementerian Kesihatan (KKM) bagi aspek kesihatan. Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat bagi aspek penjagaan jangka panjang. Yang penting, kesemua kementerian yang ada harus bekerjasama," katanya.
Sebelum itu, beliau berkata, usaha menghadapi negara menua adalah kompleks, mengambil kira pelbagai cabaran termasuk fiskal, pasaran buruh serta perkhidmatan kesihatan dan penjagaan.
"Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 (NAB) sudah pun sudah dibangunkan tahun ini. NAB merangkumi perancangan dasar, rangka kerja dan pelan tindakan dalam bidang ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan sosial serta penjagaan kesihatan jangka panjang yang menyeluruh.
"Fokus NAB sudah diterjemah menerusi inisiatif khusus di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) untuk mempersiapkan Malaysia menuju negara menua," katanya.