IPOH – Sebanyak 29 tan tongkeng ayam sejuk beku yang diragui status halalnya antara barangan yang dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak dalam Operasi Macan Legit II, baru-baru ini.
Pengarah JKDM Perak, Mohd Nadzri Ariffin berkata, kesemua 14,004 paket tongkeng ayam itu ditemui dalam pemeriksaan melibatkan sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 12 Ogos lalu.
Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati barangan tersebut tidak mempunyai sebarang permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
“Hasil semakan mendapati syarikat yang membawa masuk dagangan dari China itu tidak disenaraikan di bawah Maqis dan tidak mengikrarkan dagangannya, sekali gus meragukan status halal yang dipaparkan pada paket tersebut.
“Dagangan ini dianggarkan bernilai RM275,500 dengan anggaran jumlah duti sebanyak RM13,775,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM Perak di sini pada Selasa.
Mohd Nadzri berkata, pihaknya turut berjaya mematahkan cubaan menyeludup beras yang disimpan di sebuah gudang di Shah Alam, Selangor pada 14 Ogos lalu.
“Serbuan sepasukan anggota daripada Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu itu menemui sejumlah 6.6 tan beras disyaki sebagai barang tidak berkastam, dipercayai diimport dari Bangladesh.
“Rampasan berkenaan dianggarkan bernilai RM29,691.20 termasuk duti, kerana diimport tanpa permit sah daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas),” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Pada masa sama, seorang pemandu lori berusia 38 tahun turut ditahan selepas pihaknya menemui minuman keras pelbagai jenama di dalam kenderaan yang dipandunya di Sitiawan pada 13 Ogos lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati minuman keras tersebut merupakan barang larangan di bawah Perintah Duti Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Barangan tersebut bernilai RM138,462.59 dengan anggaran duti RM178,163.95 telah disita dan lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, serbuan oleh pasukan penguat kuasa di sebuah rumah kosong di Kampung Keramat, Bagan Serai pada 6 Ogos lalu turut menemukan sejumlah rokok putih dan kretek bernilai RM22,511 dengan anggaran cukai sebanyak RM139,729.10.
Jelas beliau, bagi kedua-dua kes yang melibatkan rampasan berjumlah RM478,866.64 itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.