Kubur Syamsul Haris akan digali semula

Iklan
Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur pelatih Palapes UTM, Syamsul Haris Shamsudin digali semula dalam tempoh 14 hari bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan.

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa memerintahkan penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin.

Perintah itu bertujuan membolehkan bedah siasat kedua dilakukan dalam tempoh 14 hari bermula tarikh penggalian.

Iklan
Iklan

Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.

Semasa membacakan keputusan, beliau berkata, Ketua Polis Negara (KPN) selaku responden pertama akan menyelia proses penggalian semula jasad anak sulung kepada seorang guru itu, yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di sini.

Iklan

Mahkamah turut mengarahkan seorang pakar patologi forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan bedah siasat kedua terhadap jasad Syamsul Haris, 22, dengan kehadiran Pakar Forensik, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh.

Proses itu turut disertai peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili pemohon atau wakil daripada firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.

Iklan

“Mahkamah mengeluarkan perintah agar pakar forensik yang menjalankan bedah siasat kedua membuat laporan dalam tempoh munasabah bermula tarikh autopsi dijalankan.

“Salinan laporan hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan hasil siasatan jawatankuasa kematian pegawai kadet Palapes UTM mendapati tiada sebarang unsur penderaan dalam insiden berkenaan.

Mangsa meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, pada 28 Julai lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.

Beliau berkata, latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur ditetapkan.

Pada 1 Ogos lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kematian pelatih Palapes itu.

Susulan itu, Ummu Haiman Bee memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi dengan menamakan KPN, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebagai responden pertama dan kedua.