Rusuhan di Jakarta: Pelajar protes elaun mewah ahli Parlimen

Iklan
Penunjuk perasaan yang bertindak agresif ketika cuba mara ke bangunan Parlimen di Jakarta pada Isnin. Foto Agensi

JAKARTA – Polis rusuhan Indonesia terpaksa melepaskan beberapa das gas pemedih mata bagi menyuraikan ribuan penuntut universiti yang bertindak agresif ketika cuba mara ke bangunan Parlimen di Jakarta pada Isnin.

Protes tercetus susulan pendedahan bahawa 580 ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) menerima elaun perumahan sebanyak 50 juta rupiah (RM15,400) sebulan sejak September 2024.

Iklan
Iklan

Tindakan itu mengundang kemarahan rakyat, khususnya golongan mahasiswa, yang menyifatkannya tidak adil berikutan kesusahan ekonomi yang ditanggung majoriti penduduk.

Ketika cuba menghampiri kawasan Parlimen yang dikawal ketat, penunjuk perasaan membaling batu dan botol ke arah polis serta membakar objek di bawah jejambat berhampiran.

Iklan

Polis bertindak balas dengan gas pemedih mata dan menutup beberapa jalan utama termasuk lebuh raya bertol, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di ibu kota.

Lebih 1,200 anggota keselamatan dikerah mengawal bangunan Parlimen.

Iklan

Setakat ini, tiada laporan kecederaan diterima.

Penunjuk perasaan menuntut elaun mewah itu dimansuhkan kerana ia dianggap melampau berbanding gaji wakil rakyat.

Malah, elaun berkenaan dianggarkan 20 kali ganda lebih tinggi daripada gaji minimum bulanan di kawasan miskin negara tersebut.

Sementara itu, Speaker Dewan, Maharani, mempertahankan jumlah elaun itu dengan menyatakan ia telah diteliti dan disesuaikan dengan kos sara hidup semasa di Jakarta.

Indonesia yang memiliki lebih 280 juta penduduk berdepan masalah rasuah, dan aktivis mendakwa ahli Parlimen serta polis antara institusi yang paling kerap dikaitkan dengan gejala tersebut. – Agensi