BANDAR GAZA - Unit kereta kebal dan jet pejuang rejim Zionis memperhebatkan serangan di pinggir timur dan utara Bandar Gaza, beberapa hari selepas fasa pertama operasi berskala besar untuk menggempur tengah wilayah itu dilancarkan.
Saksi mendakwa hujan bom berterusan pada akhir minggu lalu terutamanya di Zeitoun dan Sheijaya serta memusnahkan kediaman dan jalan utama berhampiran kawasan kejiranan Sabra dan utara Jabaliya.
Situasi itu telah mencetuskan panik dalam kalangan penduduk Palestin hingga sebahagian daripada mereka bertindak meninggalkan bandar utama tersebut.
Terdapat juga penduduk Gaza yang berkeras enggan berganjak kerana sudah lelah berpindah-randah tanpa hala tuju sejak lebih 22 bulan lalu.
Kira-kira separuh daripada 2 juta penduduk kini berlindung di Bandar Gaza manakala ribuan mula berpindah sejak minggu lalu.
"Saya tidak mahu mengambil risiko dan terpaksa membawa isteri dan tiga anak perempuan kami keluar dari sini. Hakikatnya, tiada lagi tempat yang selamat di sini.
"Jika kempen pencerobohan itu benar-benar dilancarkan, ia pastinya akan menjadi medan tempur yang dahsyat," ujar Mohammad, 40.
Bagi Aya, 31, dia bersama lapan ahli keluarganya akan kekal di Bandar Gaza kerana mereka tidak berkemampuan untuk membeli khemah baharu atau membayar kos pengangkutan.
"Kami kelaparan, dilanda ketakutan dan tiada wang," katanya.
Kebongkakan Zionis Pada awal bulan lalu, kerajaan 'ekstremis' pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu meluluskan operasi Gideon's Chariots 2 untuk 'menakluk' Bandar Gaza.
Komuniti antarabangsa menzahirkan bantahan selepas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mula mara ke pinggir bandar tersebut dalam tempoh singkat meskipun Mesir dan Qatar selaku perantara proses damai berusaha menyambung semula rundingan bagi mencapai perjanjian gencatan senjata.
Zionis bagaimanapun tidak mempedulikan kecaman banyak pihak sebaliknya terus mengebom tengah Gaza dan kawasan sekitarnya yang kini menjadi medan tempur baharu.
Pada Ahad, Menteri Pertahanan, Israel Katz dengan angkuh menyatakan ia akan tetap menggempur Bandar Gaza di tengah-tengah krisis kebuluran 'buatan manusia' yang kian meruncing.
Sebagai respons, pejuang Hamas menyelar provokasi melampau Zionis tersebut dan mendakwa ia sebagai bukti jelas Tel Aviv tidak komited untuk melaksanakan tempoh bertenang.
"Kesepakatan untuk mencapai gencatan senjata yang tertangguh selama beberapa bulan satu-satunya cara untuk membebaskan baki tawanan di Gaza.
"Netanyahu bertanggungjawab penuh atas nasib mereka," tegasnya dalam satu kenyataan.
Data terbaharu dikeluarkan Kementerian Kesihatan di Gaza menunjukkan lapan lagi menjadi korban malnutrisi dan kebuluran, sekali gus menjadikan jumlah itu meningkat kepada 289 orang termasuk 115 kanak-kanak. - Agensi