Faktor keselamatan, elak risiko perundangan jadi asbab taska tolak jaga bayi

Iklan
Faktor keselamatan dan elak risiko dikenakan tindakan perundangan punca banyak taska kini menolak perkhidmatan jaga bayi bawah umur setahun. - Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Faktor keselamatan selain enggan menanggung risiko pelanggaran undang-undang menjadi antara sebab terdapat pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) tidak menyediakan perkhidmatan penjagaan kepada bayi berusia setahun ke bawah.

Penyelia sebuah tadika, Syafiqah Shafiee berkata, majikannya mengambil keputusan untuk tidak menyediakan perkhidmatan penjagaan bayi kerana ia memerlukan perhatian eksklusif, selain perlu menyediakan tenaga kerja yang mahir dan berpengalaman dalam mengendalikan anak kecil berkenaan.

Iklan
Iklan

“Sebelum ini terdapat banyak kes kecuaian dan pengabaian perhatian oleh pengasuh bertugas membabitkan bayi. Justeru, ramai dalam kalangan pengusaha taska kini menolak servis penjagaan bayi bagi mengelakkan risiko perundangan,” jelasnya kepada Sinar Harian.

Menurut Syafiqah, selain sebuah tadika di Sungai Petani, majikannya turut mempunyai empat buah tadika lain di lokasi berlainan yang telah diusahakan sejak lebih 10 tahun lalu.

Iklan

“Kesemua tadika bawah cawangan sama hanya menyediakan perkhidmatan untuk kanak-kanak berusia dua tahun ke atas sahaja... itulah yang ditawarkan sejak awal lagi... kini ada lima cawangan kesemuanya,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pengambilan kanak-kanak berusia dua tahun ke atas juga dihadkan bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan terdapat 4,016 taska berdaftar di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), menyebabkan ramai ibu bapa terpaksa memilih pusat jagaan tidak berlesen atau menghantar anak kepada individu yang menawarkan perkhidmatan asuhan secara persendirian.

Difahamkan, negara memerlukan sekurang-kurangnya 50,000 hingga 60,000 taska berdaftar bagi memenuhi keperluan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak berumur bawah empat tahun yang kini dianggarkan mencecah empat juta orang.