Kuaters guru daif, penghuni resah keselamatan terancam

Iklan
Kuarters Institusi Pendidikan Kampung Jawa di sini memerlukan kerja pembaikan segera demi keselesaan penghuninya.

KLANG – Penghuni Kuarters Institusi Pendidikan Kampung Jawa di sini meluahkan kebimbangan terhadap keadaan kediaman mereka yang semakin daif dan berisiko menjejaskan keselamatan serta kesihatan.

Seorang penduduk, Azludin Adan, 44, berkata, keadaan bangunan kuarters itu semakin teruk berbanding ketika beliau mula menetap di situ pada 2018.

Iklan
Iklan

“Semua blok di tingkat lima kuarters ini menjadi sarang burung merpati dan apabila hujan, air bercampur najis burung masuk ke kolong dan kadang-kadang menitis sampai ke rumah penduduk.

“Paling membimbangkan ialah ancaman kepada kesihatan penduduk kerana ada kes burung masuk ke dalam tangki air tidak bertutup di setiap rumah,” katanya ketika ditemui pada Isnin.

Iklan

Keadaan bumbung reput dan diserang anai-anai di kuaters terbabit. Keadaan di tingkat lima yang dipenuhi dengan najis burung di kuaters berkenaan.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Samsol Ismail, 45, berkata, masalah itu bukan sahaja melibatkan burung malah turut membabitkan struktur bangunan yang rosak.

Iklan

“Tingkat lima sudah banyak diserang anai-anai, siling reput dan ada yang jatuh ke bawah malah saya sendiri hampir terkena dua kali ketika lalu di bawah bumbung.

“Walaupun belum ada kecederaan dilaporkan, keadaan ini memang membahayakan keselamatan,” ujarnya.

Menurut Ahmad Samsol, terdapat juga kes anjing liar yang masuk ke kawasan kuarters hingga mencederakan salah seorang kanak-kanak.

“Terdapat satu kes kanak-kanak sekolah rendah pernah digigit anjing liar awal tahun ini, lebih-lebih lagi kuarters ini tidak mempunyai pengawal keselamatan, jadi anjing dan orang luar mudah keluar masuk.

“Di Blok I pula berlaku mendapan tanah yang menjadi habitat biawak dan ular, dan secara tidak langsung membahayakan keselamatan penduduk,” katanya.

Tuan Wail Tuan Ibrahim, 60, pula berkata, isu parkir menambah kesesakan di kuarters itu apabila banyak kenderaan tersadai ditinggalkan begitu sahaja sejak bertahun-tahun.

“Lebih 20 kenderaan sudah lama ditinggalkan, ada yang sampai lima hingga enam tahun tidak diambil pemilik, sekali gus menyempitkan ruang parkir selain mencacatkan pemandangan.

“Sepatutnya pihak berkuasa ambil tindakan kerana pemilik kenderaan berkenaan sudah lama berpindah,” tambahnya.

Kuaters itu menjadi lokasi kereta tersadai sejak sekian lama.

Seorang lagi penghuni, Sharif Mohd Nor, 58, meluahkan kebimbangan berikutan keadaan kawasan kuarters itu yang gelap gelita setiap malam akibat lampu jalan tidak berfungsi.

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa, malah mengundang risiko keselamatan kerana kawasan perumahan menjadi terlalu sunyi dan gelap.

“Keadaan kuarters ini jadi gelap kerana lampu jalan tidak pernah dibaiki dan membuatkan kami risau, terutama jika berlaku jenayah.

“Pada masa sama, sebuah kontena yang ditinggalkan di kawasan kuarters sejak sekian lama juga menjadi punca rungutan penduduk kerana mencacatkan pemandangan dan dikhuatiri menjadi tempat pembiakan haiwan berbisa,” tambahnya.

Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor berhubung aduan berkenaan.