ZAMAN sekarang, pemandangan biasa apabila bayi yang baru pandai duduk pun dah pandai swipe skrin telefon. Ada yang diberi untuk pujuk supaya tak menangis, ada yang dijadikan ‘pengasuh ekspres’ ketika ibu bapa sibuk.
Nampak seperti tiada apa, tapi hakikatnya ia umpama racun yang perlahan-lahan merosakkan masa depan anak.
Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia menunjukkan kanak-kanak bawah dua tahun langsung tidak sepatutnya terdedah kepada skrin, manakala kanak-kanak bawah lima tahun hanya dibenarkan sejam sehari.
Tetapi realitinya, ramai anak kecil kini menghabiskan masa tiga hingga lima jam sehari di depan skrin.
Kesan jangka panjangnya bukan kecil. Doktor pediatrik mengesahkan semakin banyak kes kelewatan bercakap, masalah tumpuan, dan gangguan tidur akibat ketagihan skrin.
Malah ada anak yang berubah menjadi murung bila gajet dirampas, seolah-olah kita tarik nyawa mereka.
Sedangkan anak kecil sepatutnya membesar dengan berlari atau bermain dengan kawan sebaya di taman.
Aktiviti fizikal dan sosial bukan sahaja menguatkan tubuh, tetapi juga merangsang daya kreativiti dan perkembangan emosi mereka. Masa kecil ini adalah fasa mereka meneroka dunia sebenar, bukan ilusi dunia maya.
Ibu bapa paling bersalah dan ada saham besar dalam masalah ini. Telefon sering menjadi pengasuh supaya kita boleh memasak, membuat kerja, atau sekadar berehat seketika.
Tetapi telefon hanyalah alat, bukan pengasuh sepenuh masa. Jika terlalu bergantung kepadanya, anak akan belajar bahawa dunia mereka berpusat pada skrin, bukan pada interaksi manusia.
Ketagihan skrin bukan sekadar mengganggu rutin harian, malah boleh mempengaruhi cara anak belajar dan bersosial. Sayangi anak kita. Dunia maya boleh menunggu, tetapi masa kecil mereka tidak akan berulang.
Jangan sampai suatu hari nanti, kita pula yang perlu belajar cara berbual dengan anak sendiri kerana mereka lebih selesa bercakap dengan skrin daripada dengan kita.