Siaran langsung bicara kes rasuah mampu tangani persepsi

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai cadangan SPRM untuk menyiarkan perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi secara langsung.

CADANGAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiarkan secara langsung perbicaraan kes rasuah berprofil tinggi wajar dipandang sebagai langkah berani ke arah membina semula kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman negara.

Dalam era maklumat tanpa sempadan, ketelusan bukan lagi pilihan, tetapi keperluan untuk menunjukkan tiada apa yang hendak disorokkan.

Iklan
Iklan

Siaran langsung ini memberi peluang kepada rakyat melihat sendiri perjalanan prosiding, dari hujah pendakwaan hingga pembelaan.

Ia bukan sahaja memaparkan bagaimana keadilan ditegakkan, malah mengurangkan ruang untuk spekulasi dan fitnah yang sering berlegar di media sosial. Dengan bukti visual rasmi, sebarang manipulasi fakta boleh segera dipatahkan.

Iklan

Lebih penting, pendekatan ini menghantar mesej jelas bahawa negara serius membanteras rasuah, tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Apabila rakyat menyaksikan sendiri proses keadilan berjalan secara telus, keyakinan terhadap institusi kehakiman akan diperkukuh, sekali gus mengukuhkan integriti negara di mata dunia.

Iklan

Langkah ini juga mampu mendidik masyarakat untuk tidak sesekali terlibat dengan rasuah kerana kesan rantaiannya amatlah parah. Tambahan pula ramai yang tidak memahami proses perundangan dan sering membuat penilaian berdasarkan khabar angin.

Dengan pendedahan terus kepada perjalanan mahkamah, rakyat dapat menilai sendiri fakta kes, memahami asas hujah, dan menyedari bahawa keadilan tidak lahir daripada slogan, tetapi melalui proses yang teliti dan beretika.

Memang benar, siaran langsung ini membawa cabaran, termasuk risiko salah tafsir atau trial by media. Namun, cabaran itu bukan alasan untuk menolak ketelusan.

Apa yang diperlukan hanyalah garis panduan jelas, termasuk kawalan kandungan dan penerangan profesional bagi memastikan persepsi awam dibentuk berdasarkan fakta, bukan emosi.

Rasuah ialah barah yang merosakkan negara dari dalam. Untuk membanterasnya, rakyat mesti diyakinkan bahawa keadilan ditegakkan secara saksama.

Siaran langsung perbicaraan kes berprofil tinggi adalah salah satu cara paling berkesan untuk membina kepercayaan itu.

Keberanian SPRM membuka pintu ketelusan ini patut dipuji. Inilah masanya negara mengorak langkah baharu daripada retorik ke tindakan, dari keraguan ke keyakinan. Semuanya demi Malaysia yang lebih bersih, adil, dan berintegriti.