TEL AVIV - Kerajaan 'ekstremis' pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sekali lagi berdepan protes komuniti di Israel yang mengutuk perang genosid tiada kesudahan ke atas Genting Gaza.
Ribuan dilaporkan turun berarak dan berhimpun di Tel Aviv pada Sabtu sambil melaungkan slogan 'hentikan pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin' meskipun permit perhimpunan dibatalkan pihak berkuasa setelah siri bantahan mingguan terus dilancarkan sejak beberapa bulan lalu.
Demonstrasi tersebut yang dianjurkan komuniti minoriti Arab, kumpulan hak asasi manusia dan aktivis sayap kiri menuntut penamatan krisis kebuluran dan kempen pengeboman serta membawa pulang baki tawanan dari Gaza.
Pada bulan lalu, lebih 10,000 menyertai tunjuk perasaan di bandar Sakhnin selain ahli Parlimen Arab bersama pemimpin komuniti melancarkan mogok lapar selama tiga hari sebagai membantah malapetaka kemanusiaan yang kian meruncing di wilayah tersebut.
Pada Jumaat, pemantau kelaparan global, Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) buat pertama kali mengisytiharkan krisis kebuluran kini melanda utara Gaza setelah perang genosid tercetus selama lebih 22 bulan.
Menurut laporan IPC, dianggarkan 514,000 penduduk Palestin atau hampir satu perempat daripada populasi di Gaza berdepan kelaparan teruk dan angka itu dijangka meningkat kepada kira-kira 641,000 orang menjelang akhir September depan. - Agensi