Pulau Pinang mempertahankan Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Bawah 18 Tahun (B-18) Petronas 2025 selepas menewaskan Johor 4-3 dalam aksi final di Dewan Persatuan Badminton Pulau Pinang (PBA), Bukit Dambar pada Ahad.
Kejayaan itu merupakan gelaran kedua berturut-turut buat tuan rumah apabila meraih mata penentuan selepas pasangan wanita Johor, Hasyni Devi Sahathevan-Dania Sofea Zaidi terpaksa menarik diri ketika mendahului 17-13 pada set pertama.
Keputusan itu sekali gus menghadiahkan mata kemenangan kepada gandingan Christine Lam Mei He-Nicole Chau Xuan untuk menoktahkan kemenangan 4-3.
Perlawanan final berlangsung hampir tiga jam dengan Pulau Pinang bermula garang apabila mendahului 3-0 hasil kemenangan beregu campuran, perseorangan wanita pertama dan perseorangan lelaki pertama.
Pasangan Tan Zhi Yang-Nicole Tan Pei En, yang baru sahaja menjuarai Cabaran Antarabangsa Malaysia minggu lalu, terpaksa berhempas pulas sebelum menundukkan beregu muda Johor, Chiam Zi Yi-Low Zi Yu 21-19, 17-21, 21-18 dalam pertarungan hampir 80 minit.
Oo Shan Zi dan Louis Lee Qi Jun kemudian menyumbang mata kedua dan ketiga menerusi acara perseorangan wanita serta perseorangan lelaki apabila masing-masing menundukkan Hasyni Devi dan Chen Jia Le.
Namun semangat juang pasukan selatan tidak luntur apabila bangkit menyamakan kedudukan 3-3 hasil kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut menerusi beregu lelaki, perseorangan wanita kedua dan perseorangan lelaki kedua.
Semangat kebangkitan Johor bagaimanapun terhenti akhirnya apabila wakil beregu wanita mereka terpaksa menarik diri menyaksikan kejuaraan milik tuan rumah.
Sementara itu, Selangor yang tewas di separuh akhir bangkit menebus kehampaan dengan meraih tempat ketiga selepas menundukkan Sabah 4-1 dalam perlawanan penentuan ketiga keempat.
Sabah terlebih dahulu mendahului melalui beregu campuran Datu Anif Datu Asrah-Saidatul Saadiah Muhammad yang menewaskan Branson Hee Hek Fung-Sheyeon Wong E-Shwen 21-18, 21-23, 21-10.
Namun, Selangor kembali menguasai dengan memenangi empat acara perseorangan untuk menoktahkan kemenangan.