Sering amal solat tahajud, peserta RXZ Members tak sangka menang Toyota Alphard

Iklan
Zulhapis merakam gambar bersama Toyota Alphard yang dimenangi menerusi cabutan bertuah RXZ Members 7.0 di Gong Badak, Kuala Nerus pada Sabtu.

KUALA NERUS – Berkat amalan solat tahajud dan sentiasa berbuat baik kepada keluarga, seorang pemandu lori tidak menyangka membawa pulang sebuah Toyota Alphard selepas diumum sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah pada program RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak di sini pada Sabtu.

Zulhapis Seman, 36, dari Felda Lepar Hilir 2, Gambang, Kuantan, Pahang, berkata, dia tidak menyangka kehadirannya pada program RXZ Members 7.0 kali ini memberikan rezeki yang tidak pernah dibayangkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia tidak pernah mengimpikan untuk memiliki kenderaan mewah itu kerana tiada kemampuan kewangan selain menyifatkannya sebagai bukan satu keperluan.

"Semua orang mengimpikan kenderaan mewah, tetapi bukan semua mampu memilikinya. Jadi apabila sudah menang, saya akan guna seketika untuk keluarga.

Iklan

"Bagi saya, ini adalah rezeki anak saya kerana mungkin juga saya akan menjual semula kenderaan ini dan duit hasil jualan itu boleh saya gunakan untuk keperluan keluarga yang lebih penting dan untuk keperluan masa depan anak-anak saya," katanya.

Menurut Zulhapis, ini kali pertama dia memenangi hadiah cabutan bertuah walaupun sudah menyertai RXZ Members sejak edisi 5.0.

Iklan

"Untuk menang cabutan bertuah ni saya ikut syarat penyertaan dengan membeli barangan promosi berupa kemeja T penganjur berharga RM189 pada saat akhir dan nombor saya sekali sahaja dipanggil, terus saya naik pentas.

"Perasaan saya bercampur baur. Rasa terlalu gembira, sebak pun ada kerana sebenarnya sebelum ini, saya tak pernah berpeluang menang sebarang cabutan bertuah, walaupun hadiah kecil," katanya yang hadir ke program itu dengan motosikal RXZ dibeli bersama rakan pada harga RM1,700.

Sementara itu, isterinya menerusi akaun TikTok, @irfaninara369 meluahkan rasa syukur kerana suaminya memenangi hadiah berkenaan.

"Alhamdulillah, rezeki anak birthday 24 Ogos. Berkat amalan dia yang selalu solat tahajud, solat di masjid, baik dengan mak ayah, adik-beradik dan kawan-kawan. Boleh hafaz ayat al-Quran, terasa kerdil pula diri ini," tulisnya.

Himpunan RXZ Members 7.0 yang berakhir pada Sabtu mencatat sejarah apabila merekodkan penyertaan kira-kira 150,000 peserta dari dalam dan luar negara.