Nahas UPSI : Siasatan JPJ siap, sudah dibentang kepada kementerian

Iklan
Bas yang terbabit nahas dan mengorbankan 15 penuntut UPSI di Jalan Gerik-Jeli, Jun lepas. (Gambar kecil: Jazmanie)

MACHANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan siasatan berhubung kemalangan bas yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak, pada 9 Jun lalu sudah selesai dan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata,  semua penemuan dan dapatan hasil siasatan kini berada di peringkat kementerian untuk diumumkan secara rasmi.

Iklan
Iklan

“Siasatan kemalangan bas yang meragut nyawa 15 penuntut UPSI dah pun dibentangkan di peringkat kementerian. 

“Hasil siasatan itu sudah ada. Cuma untuk perkembangannya, akan dimaklumkan oleh kementerian,” katanya ketika ditemui selepas Program Semarak Merdeka 2025 di Stesen Penguatkuasa JPJ Labok di sini pada Ahad

Iklan

Dalam kemalangan tragis berkenaan, 15 penuntut maut manakala 33 lagi cedera selepas bas persiaran dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum terbalik di Kilometer 53, Lebuh Raya Timur-Barat, Gerik.

JPJ sebelum ini memaklumkan kertas siasatan dibuka terhadap pengendali bas dan syarikat pemajak selepas dipercayai gagal mematuhi komponen audit keselamatan (JISA), termasuk aspek pengawasan pemandu, pemantauan sistem penentu kedudukan global (GPS) serta garis panduan waktu kerja serta rehat.

Iklan