KULAI - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengkaji bagi mewujudkan sistem berbentuk notifikasi bagi membolehkan amaran bencana dihantar terus kepada orang ramai tanpa melalui perkhidmatan syarikat telekomunikasi.
Menurut Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, menerusi sistem tersebut, notifikasi amaran bencana akan dapat dihantar lebih cepat berbanding sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) yang digunakan hari ini.
“SKMM akan membangunkan satu sistem supaya pada masa akan datang dengan sistem ini amaran mengenai bencana boleh dihantar mengikut lokasi dengan cepat.
“Sekarang kita perlu bergantung kepada perkhidmatan syarikat telekomunikasi untuk hantar SMS, tetapi pada masa akan datang, SKMM sedang mengkaji bagi membangunkan sistem notifikasi ini sebaik menerima maklumat daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), berhubung bencana yang berlaku
“Usaha membangunkan sistem amaran bencana ini sudah dicadangkan dan diharapkan ia dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2026 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serahan Sumbangan Murid Cemerlang dan Pendidikan Pelajar di Dewan Terbuka Jalan Merbuk, Bandar Putra di sini, pada Ahad.
Sementara itu Nie Ching berkata, sistem notifikasi tersebut akan menghantar mengenai amaran bencana dengan lebih cepat berbanding daripada syarikat telekomunikasi ketika ini.
Malah katanya, amaran bencana yang dihantar menggunakan SMS dan melalui syarikat telekomunikasi dilihat mengambil sedikit masa dan tidak tertumpu pada kawasan-kawasan terjejas.
“Bila guna SMS, kita rasa macam cepat, tetapi bila ramai yang perlu terima mesej itu, ia tetap akan ikut giliran dalam sistem syarikat telekomunikasi itu.
“Perkara inilah yang sebenarnya mengambil masa,” katanya.