Terengganu peruntuk RM800,000 bawah Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal

Iklan
Ariffin

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM800,000 bagi melaksanakan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal yang diperkenalkan khusus untuk membantu golongan belia memperoleh pengangkutan bagi menjana pendapatan.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, skim berkenaan menyediakan pinjaman RM5,000 seorang dengan sasaran lima penerima bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Iklan
Iklan

“Keseluruhannya, seramai 160 belia di seluruh negeri akan mendapat manfaat melalui skim ini.

“Skim ini penting kerana membantu belia, khususnya mereka yang terlibat dalam sektor pekerjaan gig, penghantaran, usahawan mikro serta aktiviti keusahawanan, agar lebih mudah bergerak dan meningkatkan pendapatan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Dana Usahawan Terengganu (DUTE) dan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal di sini pada Ahad.

Menurutnya, inisiatif itu juga bertujuan meringankan beban kos sara hidup serta membolehkan golongan belia memiliki kenderaan yang lebih praktikal dengan kadar pembiayaan berpatutan.

Iklan

Jelas beliau, skim tersebut bukan usaha tunggal, sebaliknya kesinambungan daripada pelbagai program terdahulu seperti Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) yang telah menyalurkan lebih RM30 juta dalam bentuk pembiayaan dan geran kepada lebih 5,000 penerima sejak 2019.

“Kerajaan negeri konsisten menyediakan ruang dan peluang kepada rakyat, khususnya golongan belia untuk mengembangkan perniagaan serta menjana pendapatan,” katanya.

Ariffin turut memaklumkan, kerajaan negeri memberi mandat kepada pejabat DUN untuk membuat pemilihan usahawan yang layak mengikut syarat ditetapkan dengan peruntukan RM75,000 bagi setiap DUN.

“Pejabat DUN menjadi perantara antara kerajaan negeri dan usahawan belia ini. Saya berharap semua penerima manfaat menggunakan bantuan ini dengan amanah kerana ia hasil titik peluh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM50,000 bagi setiap DUN di bawah Dana Usahawan Terengganu (DUTE), menjadikan keseluruhan RM1.6 juta pada tahun ini.

Katanya, dana tersebut bertujuan memberi suntikan modal awal kepada usahawan belia memulakan perniagaan, meningkatkan peralatan dan operasi, selain memperkukuh perniagaan kecil agar berdaya saing serta menembusi pasaran baharu.

“Saya yakin bantuan ini mampu melahirkan lebih ramai usahawan belia berdaya tahan,” katanya.