Saifuddin fail rayuan kes saman fitnah Sanusi

Iklan
Saifuddin Nasution. Foto Bernama

ALOR SETAR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang mendapati beliau memfitnah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Saifuddin berkata, setelah meneliti keputusan tersebut bersama pasukan guamannya mendapati terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk kemukakan rayuan.

Iklan
Iklan

“Saya telah arahkan peguamcara saya untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Saya juga akan mohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu proses rayuan selesai,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, beliau menghormati keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar dan merakamkan penghargaan kepada pihak mahkamah atas perhatian, masa dan pertimbangan yang telah diberikan sepanjang prosiding berlangsung.

Iklan

“Segala kenyataan yang saya keluarkan sebelum ini berasaskan kepada tanggungjawab saya dalam menyuarakan isu-isu berkepentingan awam.

“Saya akan terus berpegang pada prinsip keterbukaan, integriti dan kebertanggungjawaban sebagai asas penting dalam amalan demokrasi,” katanya.

Iklan

Saifuddin berkata, beliau menghormati prinsip keluhuran undang-undang dan percaya sistem kehakiman negara akan memberikan ruang yang adil untuk pihaknya mengemukakan hujah dan mempertahankan kebenaran.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Mahkamah Tinggi Alor Setar memutuskan Saifuddin bersalah memfitnah Sanusi pada 2023.

Tuduhan itu berhubung dakwaan Sanusi mencuri unsur nadir bumi (REE) dan penyelewengan wang peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee memerintahkan Saifuddin membayar ganti rugi am berjumlah RM600,000 dan kos RM70,000 kepada Sanusi.

Dalam keputusannya, hakim memaklumkan mahkamah membenarkan tuntutan Sanusi selaku plaintif secara khusus ke atas kenyataan REE dan MARRIS yang dikeluarkan Saifuddin selaku defendan.

Mahkamah turut menetapkan defendan membuat permohonan maaf secara terbuka dan diterbitkan dalam sebuah akhbar bahasa Melayu dan sebuah akhbar bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari.

Selain itu, terma permohonan maaf itu juga perlu dimuat naik di akhbar utama dan mendapat kelulusan daripada Sanusi terlebih dahulu.

Mahkamah turut mengekalkan perintah injuksi melarang defendan atau ejennya mengulang kenyataan berkaitan dakwaan mencuri REE dan penyelewengan wang peruntukan MARRIS pada masa akan datang, berkuat kuasa serta merta.

Pada 3 Ogos 2023, Sanusi memfailkan saman terhadap Saifuddin kerana mendakwa Menteri Dalam Negeri itu memfitnahnya mencuri REE di Kedah dan menyeleweng peruntukkan MARRIS.