SUBANG JAYA - Tindakan dua lelaki warga asing yang baru sehari menjalankan perkhidmatan prebet sapu secara haram mengundang padah apabila ditahan dalam operasi khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di sekitar pusat beli belah di sini pada Sabtu.
Dua individu terbabit yang berusia lingkungan 30an hingga 40an itu awalnya mendakwa sekadar membantu mengambil rakan mereka untuk dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Bagaimanapun helah itu terbongkar apabila pelanggannya sendiri menunjukkan resit yang dikeluarkan oleh warga asing terbabit.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi bermula kira-kira jam 9 pagi hingga 2 petang itu dijalankan hasil risikan dan pemantauan melibatkan kegiatan penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan pengangkutan tanpa lesen sah.
"Operasi menahan dua buah kenderaan didapati dipandu warga asing, kedua-dua individu kelihatan mencurigakan sebaik dihampiri anggota dan pegawai JPJ untuk pemeriksaan.
"Siasatan mendapati kenderaan terbabit digunakan untuk mengangkut penumpang secara haram, terutama pelancong asing," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, pemeriksaan mendapati kedua-dua pemandu warga asing itu baru sahaja memiliki lesen memandu percubaan.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah penyalahgunaan LKM serta menjalankan aktiviti pengangkutan awam tanpa kebenaran.
"Tindakan dijalankan mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sitaan kenderaan terlibat dijalankan di bawah Seksyen 64 akta sama," katanya.
Menurutnya, JPJ Selangor akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kegiatan pengangkutan haram yang melibatkan penyalahgunaan kenderaan persendirian termasuk oleh warga asing.