KUALA TERENGGANU - Satu rakaman video tular pada Ahad memaparkan tindakan seorang individu menurunkan poster #JusticeForZara ketika berlangsungnya Himpunan RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.
Video berdurasi 40 saat itu dikongsi dalam sebuah kumpulan Facebook dan menunjukkan individu berkenaan mengakui terpaksa berbuat demikian atas arahan pihak tertentu.
“Saya terpaksa turunkan poster #JusticeForZara atas arahan tertentu. Ini benda yang sangat sensitif.
“Poster ini tidak boleh dipamerkan pada event RXZ Members, jadi saya mohon maaf semua. Nanti sama-sama kita naikkan balik. Apa pun, #JusticeForZara,” katanya dalam video berkenaan.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya melahirkan rasa tidak puas hati.
Seorang pengguna Facebook, IkangSeason menulis:
“Sori la geng RXZ lepas ni, jangan kerana RM300k solidariti #JusticeForZara bukan untuk dijual beli.”
Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyalurkan peruntukan tambahan RM200,000 menjadikan keseluruhan sebanyak RM300,000 disalurkan bagi penganjuran program RXZ Members 7.0.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika berucap pada majlis perasmian di lokasi acara berkenaan pada Sabtu.
Sementara itu, Abdullah Daud pula mendakwa penganjur hanya mementingkan keuntungan.
“Penganjur adalah peniaga yang mementingkan keuntungan sahaja dan menerima sedekah daripada orang politik,” tulisnya.
Bagaimanapun, ada juga yang berpandangan ia adalah hak penganjur.
“Itu hak penganjur. Macam di SMD 8.0, kalau kau ‘rem’ motor confirm kena cabut kunci. Ikutlah apa penganjur cakap,” tulis seorang lagi pengguna dengan nama Parashorea Tomantella.
Himpunan RXZ Members 7.0 yang berlangsung selama dua hari dan berakhir semalam mencatat kehadiran kira-kira 150,000 peserta, sekali gus menjadi edisi paling besar dan berjaya setakat ini.
Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada penganjur berhubung isu berkenaan.