SHAH ALAM - Kekurangan pusat penjagaan kanak-kanak yang mahu mengambil bayi pada masa kini menjadi ancaman besar kepada ibu muda di Malaysia untuk kekal bekerja sekali gus menjejaskan penyertaan wanita dalam sektor tenaga kerja.
Pengerusi Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis), Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, ramai wanita berdepan pilihan sukar sama ada terus bekerja atau berhenti kerana gagal mencari pusat jagaan untuk anak selain terpaksa menghabiskan sebahagian besar gaji untuk membayar yuran.
Beliau berkata, trend wanita berhenti kerja juga semakin membimbangkan apabila Khazanah Research Institute (KRI) menyatakan penjagaan bayi menjadi faktor utama kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja kekal rendah berbanding negara lain.
“Situasi itu menyebabkan ramai akhirnya memilih untuk berhenti kerja walaupun keputusan tersebut tidak ideal dari segi ekonomi, namun mereka tiada pilihan dan ia memberi kesan kepada kewangan keluarga.
Bibi Sunita menambah, ramai ibu muda juga didapati mengambil keputusan berhenti kerja kerana tidak yakin menghantar anak ke taska, terutama bayi bawah dua tahun, selain isu keselamatan dan yuran tinggi.
Beliau turut berkongsi kes dilaporkan kepada pihaknya melibatkan seorang pembantu akauntan berusia lebih kurang 33 tahun dan meraih pendapatan lebih RM3,000 tetapi memilih berhenti kerja untuk menjaga anak sendiri.
Menurutnya lagi, ada wanita yang menolak kenaikan pangkat, malah terdapat beralih kepada kerja separuh masa demi fleksibiliti masa walaupun tanpa perlindungan insurans.
“Ada satu kes melibatkan seorang jururawat ibu tunggal yang terpaksa berhenti kerja kerana tidak mampu mengurus anak-anak yang ramai,” katanya.
Bagi mengatasi isu itu, Bibi Sunita mencadangkan supaya kerajaan memberi subsidi untuk bayi bawah dua tahun bagi mengimbangi kos operasi taska dan potongan cukai kepada pengusaha taska serta syarikat yang menyediakan pusat jagaan.
“Selain itu, galakan pusat asuhan di tempat kerja dengan insentif cukai berganda, kewajipan ruang taska di kawasan perindustrian,” katanya.
Turut dicadangkan peluasan taska komuniti, bantuan kupon, baucar atau rebat terus kepada keluarga berpendapatan sederhana dan rendah bagi meringankan beban yuran taska.