Perlu SOP keselamatan

Iklan
Penganjur program perlu menyediakan SOP jelas bagi memastikan keselamatan peserta dan mengelakkan tragedi kemalangan maut berulang pada masa depan. Gambar kecil: Teik Hua

SHAH ALAM – Program himpunan motosikal seperti RXZ Members perlu mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas atau langkah-langkah yang sesuai bagi mengelakkan berlaku tragedi kemalangan maut pada masa depan.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, kajian pihaknya menunjukkan risiko kematian membabitkan penunggang motosikal adalah 18 kali ganda berbanding pemandu kereta di negara ini.

Iklan
Iklan

“Kelemahan penganjuran program sebegini dapat dilihat apabila banyak kejadian kemalangan berlaku membabitkan peserta sebelum ini.

“Program RXZ itu memang saya tidak sokong sebab motosikal bukanlah untuk perjalanan jarak jauh. Kalau nak buat juga, mesti ada langkah-langkah sesuai.

Iklan

“Saya tengok polis dan penganjur seolah-olah tidak buat apa-apa, hanya kata tiada halangan untuk berhimpun.

“Peserta datang dari lokasi berbeza, jadi persoalannya adakah mereka boleh berkonvoi dalam kumpulan besar?

Iklan

“Kalau bergerak seorang atau kumpulan kecil, lebih berbahaya kerana sukar dilihat pemandu lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa peserta RXZ Members 7.0 yang maut dalam kemalangan berasingan di Pahang, Terengganu dan Perak.

Dalam pada itu, Teik Hua menjelaskan bahawa pihak berkuasa sebelum ini pernah mengumpulkan penunggang motosikal di plaza tol untuk bergerak secara berkumpulan dengan kawalan polis, sekali gus dapat mengurangkan risiko kemalangan.

“Bila bergerak dalam kumpulan besar, ia lebih selamat kerana kenderaan lain akan nampak dan cuba elak atau jaga jarak. Selain itu, peserta sepatutnya memakai jaket keselamatan supaya lebih mudah dilihat di jalan raya.

“Penganjur kena ada SOP jelas dan bekerjasama dengan polis, jangan biar peserta bergerak sendiri,” ujarnya.

Beliau menegaskan, langkah itu penting bagi memastikan penganjur, polis dan pihak berwajib dapat mengawal pergerakan konvoi selain memberi panduan keselamatan kepada peserta.

“Kita tidak boleh biarkan peserta ini macam itu sahaja. Kita kena belajar daripada kesilapan, apa yang sepatutnya dibuat.

“Kalau boleh, tetapkan syarat supaya mereka bergerak sekali dalam satu perjalanan yang lebih tersusun.

“Seboleh-bolehnya jangan adakan program sebegini. Saya tahu mungkin ada yang marah tapi kita kena fikir soal keselamatan. Kalau nak buat juga, mesti ada langkah kawalan,” tegasnya.