BERA – “Arwah adik saya seorang yang pemurah dan tidak pernah lupa untuk bersedekah, terutama sedekah Subuh.”
Itulah yang dikongsi Emey Lee, 45, mengenai adiknya, Roslinawati Ramli, 33, atau lebih dikenali sebagai Eyna Lee, yang maut dalam kemalangan motosikal RXZ di Kilometer 394, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Kuala Terengganu pada Jumaat.
Menurut Emey, sifat pemurah adiknya sudah sebati dalam diri sejak dulu lagi dan itulah yang membuatkan ramai menyayanginya.
“Arwah seorang yang ceria, peramah dan suka membantu orang lain. Ramai yang tidak tahu, dia sangat konsisten dengan amalan sedekah Subuh. Itu sikapnya yang paling saya kagumi.
“Bila lihat kehadiran orang ramai sewaktu pengebumiannya, saya percaya ia balasan kepada sifat arwah yang tidak lokek berkongsi rezeki,” katanya sebak.
Eyna Lee, anak keenam daripada tujuh beradik, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tementi kira-kira jam 2.45 pagi dengan diiringi keluarga serta sahabat handai.
Emey turut menegaskan arwah bukan ‘minah rempit’ seperti dakwaan segelintir pihak, sebaliknya seorang peminat dunia permotoran sejak remaja.
“Arwah membeli motosikal RXZ sendiri sejak usia 21 tahun dan setiap kali menyertai program permotoran, dia akan ditemani suami, anak-anak, ibu bapa serta adik-beradik lain. Keselamatan memang keutamaan kami,” jelasnya.
Dalam kejadian itu, arwah bersama suaminya, Mohd Nor Mustapa, 34, serta dua anak mereka, Alyssa Sofea, 4, dan Alyssa Waheeda, 6, dalam perjalanan dari Simpang Renggam, Johor ke program RXZ Members 7.0 di Kuala Terengganu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan seorang jururawat bergerak dari rumah sekitar jam 1 pagi menuju ke Kuala Terengganu.
“Ketika tiba di lokasi kejadian sekitar jam 12 tengah hari, motosikal ditungganginya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.