KUALA TERENGGANU – Rakyat Terengganu sentiasa bersikap terbuka dalam menerima kedatangan pengunjung luar, termasuk ketika penganjuran program permotoran seperti himpunan motosikal RXZ yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat hingga Sabtu di Gong Badak, Kuala Nerus.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, sikap terbuka itu dapat dilihat melalui layanan masyarakat setempat terhadap tetamu yang hadir ke Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sepanjang program tersebut.
"Dua hari ini kawasan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus meriah dengan bunyi ekzos dan bau minyak 2T.
"Esok semua suasana ini akan kembali normal. Walaupun berdepan dengan bunyi bising, penduduk di sini tetap menerima kehadiran tetamu dengan baik,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Sabtu.
Menurut beliau, masyarakat negeri ini menghormati aktiviti rekreasi termasuk permotoran, sama seperti mereka menghormati penunggang basikal di jalan raya.
"Pengguna jalan raya tidak akan sesuka hati membuli penunggang basikal dengan membunyikan hon panjang dan seumpamanya.
"Memang ada segelintir, tetapi bilangannya kecil. Program permotoran juga begitu, cuma bila agak berlebihan, barulah wujud rasa tidak senang.
"Begitu juga dengan pakaian menjolok mata, ia boleh menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk di sini," ujarnya.
Mengulas mengenai penganjuran kali ini, Hishamuddin mengakui terdapat sedikit kekurangan dari segi keharmonian program yang mungkin berpunca daripada pihak luar yang cuba ‘menumpang’ acara tersebut.
"Ramai peserta hadir kerana mahu menikmati suasana, jadi suasana itu memerlukan keharmonian.
"Keadaan ini boleh diperbaiki jika semua pihak saling berbincang. Jangan sampai hobi dan aktiviti rekreasi ini diperalat oleh pihak yang mempunyai agenda tertentu," jelasnya.