[VIDEO] AI jangan sampai hilang jati diri - PM

Iklan

SEREMBAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penguasaan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital tidak seharusnya mengorbankan nilai, budaya dan jati diri rakyat Malaysia.

Anwar berkata, walaupun AI dan teknologi digital membuka ruang baharu dalam pembangunan negara, penerapannya perlu diimbangi dengan budaya tempatan.

Iklan
Iklan

“Kita tak mahu AI dan digital menyebabkan kesenjangan membengkak antara golongan yang punya pendedahan dan rakyat biasa.

“Kita tidak mahu penguasaan digital dan AI menyebabkan kita kehilangan jati diri, nilai, akhlak dan keyakinan agama serta budaya,” katanya ketika berucap sempena Program Madani Rakyat 2025 Negeri Sembilan di Dataran Nilai pada Sabtu.

Iklan

Katanya, penerapan AI di Malaysia perlu disesuaikan dengan keperluan dan acuan tempatan, bukan sekadar meniru model dari negara-negara seperti Amerika Syarikat, Eropah atau China.

Anwar berucap pada Majlis Perasmian Program Madani Rakyat 2025 Negeri Sembilan di Dataran Nilai pada Sabtu. Foto Bernama

Iklan

“Kita harus memastikan anak-anak kita faham apa itu digital, faham apa itu AI dan kemudian mampu menghasilkan sesuatu yang sesuai dengan pemikiran kita.

“Kita boleh ambil daripada semua negara tapi kita pertahankan nilai dan budaya kita. Ini yang disebut latihan dan penguasaan teknologi baru,” tambahnya.

Beliau turut mengimbas kembali kebimbangan awal terhadap penggunaan komputer, namun menegaskan bahawa keperluan membina benteng bukan sahaja dari segi teknologi, tetapi juga di peringkat rumah melalui pendidikan akhlak dan nilai.

“Sebab itu saya katakan, benteng pertahanan yang disebut sebagai ‘firewall’ itu bukan sahaja dalam teknologi. Ia juga perlu wujud di rumah isitu melalui pemahaman akhlak dan nilai yang kita asuh dalam keluarga.

“Penguasaan terhadap teknologi baharu mesti seiring dengan usaha mempertahankan nilai, budaya dan keaslian kita,” tambah beliau.

Anwar turut memberi amaran tentang risiko “productivity paradox”, iaitu apabila pelaburan besar dalam teknologi tidak diiringi dengan peningkatan produktiviti atau perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita belanja tinggi untuk AI dan digital, tetapi produktiviti tidak meningkat. Ini isu yang perlu dibincangkan secara serius.

“Kerajaan mengambil inisiatif memperkenalkan fakulti AI di institusi pengajian tinggi seperti UTM, UKM, UPM, UUM dan USIM bagi melahirkan bakat tempatan dalam bidang teknologi.

“Ilmu ini harus diterima, difahami dan disesuaikan dengan cara pemikiran kita sendiri. Kita perlu hasilkan sistem yang mengakar di bumi dan tidak hilang arah di langit,” ujarnya lagi.