Pampasan tanah Gemas akan diselesaikan - PM

Iklan
Anwar ketika hadir merasmikan Program Madani Rakyat 2025 peringkat Negeri Sembilan di Dataran Nilai pada Sabtu.

SEREMBAN - Kerajaan Persekutuan bersetuju menyelesaikan bayaran pampasan tanah di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, yang tertangguh sejak lebih sedekad lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat bagi menamatkan isu berpanjangan antara kerajaan Negeri Sembilan dan kerajaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

“Puluhan tahun masalah ini berlarutan, tetapi kerajaan Madani putuskan ia mesti diselesaikan. Yang patut dibayar, akan dibayar. Kalau ada jumlah yang boleh ditolak, akan dipotong sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Madani Rakyat 2025 peringkat Negeri Sembilan di Dataran Nilai pada Sabtu.

Iklan

Isu pampasan tanah di Kem Gemas bermula sejak 2013 melibatkan tiga lot tanah iaitu Parcel H, Parcel J dan Parcel L dengan nilai premium asal sebanyak RM2.162 bilion.

Bagaimanapun, Parcel J telah diwartakan sebagai kawasan Military Firing Ground sejak 1941, menyebabkan ia dikecualikan daripada bayaran.

Iklan

Susulan itu, jumlah bayaran yang perlu dijelaskan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri dikurangkan kepada RM1.272 bilion.

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelbagai perbincangan dan rundingan telah dijalankan bersama agensi kerajaan serta kementerian bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk mendapatkan bayaran premium tanah tersebut dan sentiasa melaksanakan tuntutan kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.