KOTA BHARU – Walaupun tidak pernah memakai kain batik dalam urusan harian, seorang suri rumah sanggup membeli dan mengenakan pakaian tradisional Kelantan itu semata-mata untuk menyertai Larian Batik anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Bagi Faradila Salleh, 37, pengalaman pertama berlari sejauh 4.5 kilometer (km) sambil berkain batik adalah sesuatu yang cukup menyeronokkan kerana dapat diraikan bersama lebih 1,000 peserta lain.
“Demi suasana, walaupun di rumah saya tidak pernah pakai kain batik sarung, tetapi bila ada larian bertema seperti ini, terus rasa nak cuba.
"Walaupun pada mulanya agak kekok, namun suasananya meriah dan ramai yang sporting, jadi terus rasa seronok,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Larian Batik Kota Bharu Bandar Selamat 2025 di Dataran Muhammadi di sini pada Sabtu.
Pelajar Kolej Perikanan Malaysia Lumut, Perak, Muhammad Firdaus Zainuddin, 22, pula memberitahu bahawa demi larian tersebut, dia sanggup meminjam kain batik ibunya.
Dia mengakui berlari dengan kain batik agak sukar, namun tetap terhibur dan berjaya menamatkan larian dalam masa yang ditetapkan.
“Tema larian sebegini sangat menyeronokkan, terutama apabila melihat pelbagai gelagat peserta. Selain untuk kesihatan, ia juga memberi peluang kepada kami untuk mempromosikan batik Kelantan," katanya.
Sementara itu, atlet Para Sukma, Nik Ahmad Syahriman Nik Abdullah, 42, sanggup membeli kain batik khas untuk larian tersebut sebagai tanda sokongan.
“Saya suka sertai larian bertema. Kali ini bukan sahaja berlari, tetapi juga peluang meraikan budaya kita,” ujarnya.
Yang Dipertua MPKB-BRI, Azi Rahimee Mohamed berkata, penganjuran Larian Batik bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat, malah turut mempromosikan warisan Kelantan.
Menurutnya, selain batik sebagai identiti negeri, pihaknya mahu menonjolkan Kota Bharu sebagai bandar selamat yang sentiasa hidup dengan aktiviti bermanfaat.