BAR DALORI - Pasukan penyelamat bersama penduduk tempatan meneruskan operasi mencari mangsa yang masih terselamat pada Selasa, selepas banjir besar akibat hujan lebat berterusan selama lima hari meragut hampir 400 nyawa, dengan pihak berkuasa memberi amaran hujan monsun dijangka berlanjutan sehingga hujung minggu ini.
Hujan lebat yang melanda wilayah utara Pakistan menyebabkan banjir dan tanah runtuh, sekali gus memusnahkan perkampungan serta menimbus ramai penduduk di bawah runtuhan, manakala puluhan lagi dilaporkan hilang.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) memaklumkan, seramai 356 mangsa maut di wilayah pergunungan Khyber Pakhtunkhwa yang terletak di barat laut Pakistan bersempadan dengan Afghanistan sejak malam Khamis lalu.
Puluhan lagi dilaporkan maut di kawasan berhampiran, menjadikan angka korban dalam tempoh lima hari meningkat hampir 400 orang.
Di Kampung Dalori, pasukan penyelamat menggali lumpur dan runtuhan batu bagi mencari mangsa yang masih hilang, manakala penduduk hanya mampu berdiri sambil berdoa selepas operasi terpaksa dihentikan sehari sebelumnya akibat hujan semakin lebat.
Seorang buruh, Umar Islam, 31, gagal menahan sebak ketika menceritakan mengenai bapanya yang maut pada Isnin lalu.
“Penderitaan kami tidak mampu digambarkan. Dalam sekelip mata, segala yang kami miliki musnah. Hidup kami kini hancur,” katanya kepada AFP.
Seorang lagi penduduk, Fazal Akbar, 37, menyifatkan suasana banjir itu sebagai sangat menakutkan.
“Ia berlaku terlalu pantas, tiada siapa sempat bertindak. Pengumuman dibuat dari masjid dan penduduk sendiri bergegas menjalankan misi menyelamat. Dalam tempoh kurang 20 minit, kampung kami musnah sama sekali,” ujarnya.
Banyak jalan rosak menyukarkan usaha menyelamat ke kawasan terjejas, selain gangguan rangkaian komunikasi yang menyulitkan lagi operasi.
Pada Selasa, hujan lebat turut mula membadai kawasan selatan Pakistan yang sebelum ini terlepas daripada bencana monsun. Ketua meteorologi wilayah Sindh, Amir Hyder Laghari memberi amaran kemungkinan berlaku banjir kilat di bandar-bandar besar termasuk Karachi yang terkenal dengan infrastruktur daif.
Sistem saliran dan paip lama di Karachi gagal menampung hujan lebat, menyebabkan ramai pemandu terkandas dalam air banjir ketika waktu puncak, selain gangguan bekalan elektrik melanda beberapa kawasan kediaman.
Di wilayah Balochistan pula, hujan turun di 15 daerah sehingga menutup lebuh raya utama yang menghubungkan wilayah itu dengan Sindh kepada kenderaan berat, menurut pegawai bencana wilayah, Muhammad Younis.
Katanya, antara 40 hingga 50 rumah rosak di dua daerah terlibat.
Pengerusi NDMA, Leftenan Jeneral Inam Haider Malik memaklumkan hujan dijangka berterusan sehingga Sabtu ini, sebelum satu lagi gelombang monsun dijangka bermula hujung bulan.
Sejak 26 Jun lalu, lebih 700 orang dilaporkan maut akibat hujan monsun di seluruh Pakistan dengan hampir 1,000 lagi cedera. Monsun dijangka berlarutan sehingga pertengahan September.
Bencana tanah runtuh dan banjir kilat adalah fenomena biasa ketika musim monsun yang bermula pada Jun dan berakhir pada September setiap tahun.
Pakistan merupakan antara negara paling terdedah kepada kesan perubahan iklim dan semakin kerap berdepan fenomena cuaca ekstrem. Pada 2022, banjir monsun menenggelamkan hampir satu pertiga negara itu serta mengorbankan sekitar 1,700 nyawa. -AFP