SHAH ALAM – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar (PSB) sehingga perlindungan rakyat benar-benar dijamin.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Saravanan Thambirajah berkata, akta berkenaan terlalu sensitif dan berisiko jika dibawa ke Parlimen tanpa rombakan menyeluruh serta rundingan telus bersama pihak berkepentingan.
“Apa yang dipertaruhkan bukan sekadar bangunan atau tanah, tetapi rumah, mata pencarian dan keselamatan hidup rakyat.
“Walaupun konsep pembaharuan bandar boleh membawa manfaat seperti pemodenan infrastruktur dan menaik taraf kemudahan awam, namun Malaysia masih belum bersedia untuk melaksanakan undang-undang ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, laporan di lapangan menunjukkan pemaju kerap mendekati penduduk dengan maklumat tidak lengkap atau bersifat manipulatif untuk mendapatkan persetujuan mereka.
“Lebih membimbangkan, terdapat insiden intimidasi yang menekan penduduk menandatangani dokumen. Rumah adalah pelaburan terbesar rakyat dan zalim jika mereka dipaksa kehilangan hak tanpa perlindungan undang-undang,” tegasnya.
Saravanan menegaskan, PSB akan menguntungkan pemaju sepenuhnya kerana akta itu berpotensi menjadi ‘piagam pemaju’ bukannya ‘piagam rakyat’, manakala ambang persetujuan minimum 95 peratus wajib dijadikan syarat mandatori.
Beliau menambah, ambang lebih rendah seperti 75 atau 80 peratus membolehkan keluarga dipaksa keluar walaupun menolak, sedangkan penolakan itu mungkin bersandarkan alasan kukuh seperti kewangan, nilai sentimental atau tidak yakin dengan pampasan.
“FOMCA menyokong tindakan Ahli Parlimen yang membantah PSB dan menekankan isu ambang persetujuan serta hak pemilik rumah. Pendekatan ini selari dengan kebimbangan rakyat.
“Suara rakyat mesti didengar. Akta pembaharuan bandar perlu melindungi hak pemilik rumah, memberi maklumat jelas dan memastikan proses persetujuan serta pertikaian dipantau pihak berkuasa bebas.
“Pampasan perlu mengambil kira nilai pasaran, kos pemindahan dan kerugian emosi. Sebarang ugutan atau paksaan pemaju mesti dihukum termasuk pembatalan kelulusan projek,” jelasnya.
Ujarnya, pembaharuan bandar harus memperkasa komuniti, memelihara ikatan kejiranan dan mengutamakan kebajikan jangka panjang penduduk, bukannya keuntungan pemaju.
“FOMCA menegaskan kerajaan dan Ahli Parlimen mesti menangguhkan PSB sehingga ia dirombak dengan penglibatan penuh semua pihak, dan ambang persetujuan 95 peratus wajib dikekalkan. PSB hanya boleh diteruskan selepas perlindungan rakyat dijamin,” tambah beliau.
Sebelum ini, media melaporkan inisiatif pembaharuan semula bandar di bawah RUU Pemulihan Bandar dikawal oleh Akta Hakmilik Strata 1985 yang menetapkan persetujuan sebulat suara semua pemilik harta di bawah Seksyen 57 diperlukan sebelum badan pengurusan boleh bertindak sebagai pemegang amanah bagi melaksanakan projek pembangunan semula.
Di bawah cadangan RUU itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menetapkan tahap persetujuan berperingkat berdasarkan keadaan dan umur bangunan iaitu 75 peratus untuk bangunan berusia lebih 30 tahun, 80 peratus untuk bangunan di bawah 30 tahun dan 51 peratus untuk bangunan yang diklasifikasikan sebagai usang atau tidak selamat didiami.