PDRM terima empat kenderaan perisai baharu perkukuh operasi PGA

Iklan
PDRM menerima empat buah kenderaan APC model Guardian CEN Level B6 bagi memperkukuh keupayaan PGA.

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima empat buah kenderaan Armoured Personnel Carrier (APC) bagi memperkukuh keupayaan Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam dalam melaksanakan penugasan keselamatan dan operasi taktikal.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, perolehan bernilai RM10.72 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan 1 itu dilaksanakan menerusi kontrak selama 24 bulan bermula 30 Mac 2024 hingga 29 Mac 2026 dengan syarikat pembekal terbabit.

Iklan
Iklan

"Kenderaan APC jenama International Armoured Group (IAG) model Guardian CEN Level B6 ini mampu membawa lapan penumpang.

"Ia dilengkapi sistem komunikasi serta ciri keselamatan taktikal seperti radio VHF RMPNET, Portable Tactical Communication, Heavy Duty Winc, Runflat Tire dan sistem gantungan heavy duty," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kenderaan itu di Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Iklan

Majlis penyerahan tersebut disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Global Komited Sdn Bhd, Datuk Mohd Nasser Israil kepada Mohd Khalid.

Mohd Khalid berkata, antara fungsi utama Skuadron Perisai PGA adalah memberikan perlindungan dalam rangkaian perhubungan jalan, menjalankan rondaan kawasan, membersihkan halangan di jalan raya, mengiringi konvoi dan mengendalikan serta mendirikan sekatan jalan raya.

Iklan

"Skuadron Perisai juga memainkan peranan dalam mengangkut dan menghantar anggota serta logistik dan turut memberikan bantuan tembakan, menjalankan operasi menyelamat di kawasan krisis dan membuat piket dan pos pemerhati," katanya.

Empat kenderaan APC akan diagihkan kepada tiga Briged PGA iaitu dua unit untuk Briged Tengah dan masing-masing satu unit untuk Briged Utara serta Briged Tenggara.

Kenderaan APC ini turut digunakan oleh pelbagai agensi keselamatan antarabangsa termasuk Pasukan Pengaman Malaysia di Lubnan (UNIFIL), Lithuania Public Security Service, Chile Gendarmerie, Bulgaria Special Forces, People's Public Security of Vietnam, Senegal Police Force dan Nigeria Armed Forces sekali gus membuktikan keberkesanan serta keupayaannya di lapangan.