[VIDEO] Luluh hati ibu hilang dua anak serentak

Iklan

IPOH - Luluh hati seorang ibu apabila kehilangan dua anak lelakinya yang ditemukan lemas di sebuah kolam di tapak pembinaan berhampiran rumah mereka di Taman Chemor Ria di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, F Tinesh, 9, dan adiknya, F Denesh, 8, ditemui di dasar kolam tidak berpagar ketika bermain berhampiran kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Krishnavani menunjukkan gambar anak-anaknya termasuk mangsa yang meninggal dunia akibat lemas di dalam kolam tadahan di sebuah kawasan pembinaan berhampiran rumahnya di Taman Chemor Ria pada Jumaat.

Menurut ibu mangsa, S Krishnavani, 29, dia tidak menyangka kehilangan anak-anaknya berlaku begitu pantas ketika hujan baru berhenti pada petang kejadian.

Iklan

“Hari itu saya hantar mereka sekolah seperti biasa. Lepas balik kerja tengah hari, saya ambil mereka dari tadika dan abang dari sekolah sebelum pergi semula kerja jam 4.30 petang.

“Petang itu hujan lebat dan sekitar 7.30 malam baru berhenti. Bila saya pulang ke rumah, dua anak saya yang paling kecil beritahu abang mereka ada dalam kolam, jadi saya terus bergegas ke tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Chemor Ria pada Jumaat.

Iklan

Tinesh (kiri) dan Denesh.

Krishnavani berkata, melihat kedua-dua anaknya tiada di permukaan kolam, dia segera meminta bantuan jiran dan pekerja asing berhampiran untuk mencari mereka.

“Pekerja Bangladesh itu turun ke kolam bantu cari anak saya dan mereka jumpa, tapi kedua-duanya sudah lemah, mungkin sebab terlalu banyak minum air.

“Saya dapat rasa nadi mereka masa itu sebelum ambulans bawa ke hospital. Tapi sesudah sampai di hospital mereka berdua dah meninggal dunia,” katanya sebak.

Franchissdass menunjukkan lokasi dua anaknya ditemukan lemas pada Rabu.

Tambahnya, kehilangan itu amat dirasai kerana Tinesh dan Denesh merupakan anak yang aktif serta sentiasa bersama adik-beradik lain.

“Setiap malam mereka berempat tidur dengan saya, tapi sekarang dua orang sudah tiada. Saya sangat sedih.

“Memang mereka ada bermain di kawasan itu, tapi kalau kolam itu berpagar atau ditutup, mungkin kejadian ini tidak berlaku,” ujarnya.

Suaminya, Franchissdass Joohan, 28, berkata, selepas mendengar berita mengenai keadaan anaknya, dia bergegas pulang dari tempat kerja di Jelebu, Negeri Sembilan.

Beberapa ahli keluarga hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang dua beradik yang lemas.

Namun, sebaik tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, dia hanya menerima perkhabaran bahawa kedua-dua anaknya sudah tidak bernyawa.

Menurutnya, kini mereka hanya tinggal dua orang anak iaitu F Harinesh, 6, dan F Hegethis, 5, serta merancang membawa mereka tinggal bersama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dua beradik itu ditemui orang awam tidak sedarkan diri di dalam kolam berkenaan kira-kira jam 8.30 malam.

“Kesemua mangsa dibawa ke HRPB untuk rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.39 malam hari sama,” katanya.